SAAT hidayah datang menyapa, tiada siapa dapat menghalangnya.
Biarpun perkahwinan mungkin dijadikan alasan untuk menganut agama Islam, namun tanpa petunjuk-NYA, kita bukanlah sesiapa.
Sepertimana yang dikongsikan seorang mualaf, Abdullah Sajad Al Qosim Tan Fuan Hiang, 56, ketika ditemu bual Sinar Islam di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Klang, Selangor baru-baru ini.
Beliau memeluk agama suci itu pada Ogos 2003 iaitu dua hari sebelum majlis pernikahan bersama gadis Muslim pilihan hatinya di kampung halaman suri hatinya, Lampung, Sumatera Selatan, Indonesia.
Namun begitu, perkahwinan bukanlah satu-satunya alasan Abdullah Sajad Al Qosim yang mesra disapa Qosim mengambil keputusan untuk menjadi saudara baharu.
"Sejak kecil lagi, saya sudah biasa mendengar azan di televisyen, cuma mungkin belum terpanggil untuk memeluk Islam,” katanya.
Barangkali disebabkan isterinya merupakan ‘orang luar’, Qosim mengakui dirinya tidak dapat mendalami Islam dan melakukan kewajipan sebagai Muslim sepenuhnya.
Namun, beliau tidak pernah menyalahkan pasangannya.
Sesungguhnya, ALLAH MAHA PENYAYANG. DIA tidak membiarkan Qosim terus hanyut.
Hanya selepas lima tahun, barulah Qosim mula serius mempelajari fardu ain dan menggali ilmu agama sehingga hari ini.
"Sepatutnya lelaki yang memimpin keluarga. Namun dalam kes saya lain kerana isteri orang luar dan tidak tahu saluran yang ada dalam negara ini untuk golongan mualaf seperti saya,” katanya yang masih mempunyai keluarga bukan Islam.
Sebelum menoktahkan bicara, Qosim menitipkan pesanan buat mualaf yang mahu bernikah.
"Suami atau isteri perlu membimbing pasangan masing-masing. Carilah tempat pengajian untuk mendalami ilmu agama.
"Sebenarnya semua ini memerlukan kesungguhan. Kalau kita enggan lakukannya, maka kita tidak akan dapat apa-apa,” katanya.
Isteri ikut pengajian
Apa yang dilalui oleh Qosim turut sama dilalui oleh Mohd Sufian Abdullah, 71. Hanya naratif ceritanya sedikit berbeza.
Siapa sangka pesara yang pernah melakukan kerja sampingan di kelab malam itu kembali kepada agama fitrah tersebut pada tahun 1978.
"Saya ada seorang kawan Muslim di kelab malam itu. Dia sering bercerita tentang Islam dan saya pula buka kisah gereja.
Langkah lelaki berbangsa India itu untuk mendalami Islam semakin panjang selepas berkahwin dengan wanita Melayu berasal dari Kuala Selangor, Selangor, Rahimah Hasbullah, 61.
Jika sebelum ini beliau biasa ke kelas fardu ain secara bersendirian, Mohd Sufian sudah tidak berseorangan lagi.
Isterinya turut sama menemani dan sama-sama belajar agama dengannya.
"Alhamdulillah, sudah rezeki saya, segalanya dipermudahkan kerana keluarga saya dan isteri, masing-masing melayan kami dengan baik.
"Walaupun ibu saya masih Kristian, tetapi hubungan kami baik dan mesra termasuk dengan isteri,” katanya yang dibesarkan dalam suasana kejiranan Melayu.
Perkahwinan campur memberinya suatu dimensi fikrah berbeza.
Mohd Sufian yang kini merupakan Ketua Biro Dakwah Perkim Cawangan Klang memberitahu, beliau melihat banyak perkara boleh disesuaikan asalkan tidak melanggar syariat.
"Sebagai contoh, apabila isteri saya menghadiri majlis perkahwinan sebelah keluarga saya yang bukan Islam, dia masih boleh memakai pakaian Punjabi dan sari yang menutup aurat,” ungkapnya.
"Peliharalah silaturahim dengan keluarga yang belum Islam dengan menunjukkan akhlak serta teladan baik kepada mereka.”
Bapa mentua cetus peluk Islam
Dalam kalangan tiga mualaf yang penulis temu bual, kisah seorang saudara baharu bernama Muhammad Ganeson Mailvaganam begitu berbekas dalam hati.
Kebetulan, lelaki berusia 62 tahun yang mesra disapa sebagai Ganeson itu paling ‘junior’ berbanding dua rakannya tadi.
Beliau yang berasal dari Kuantan, Pahang memeluk Islam pada 1 Oktober 2018 di Masjid Hakeemuddin, Nakhon Nayok, Thailand. Namun, tarikh yang direkodkan menerusi kad pengislamannya di Malaysia adalah pada 19 April 2019.
Apa yang menarik perhatian adalah faktor Ganeson mengucapkan kalimah Tauhid dicetuskan oleh arwah bapa mentuanya.
"Lama-kelamaan, dia menyuarakan hasrat hatinya kepada saya dan ahli keluarganya untuk memeluk Islam sebelum menutup mata buat selama-lamanya. Ibu mentua dan anak-anaknya masing-masing menyambut baik hasrat tersebut,” katanya sambil memberitahu bapa mentuanya meninggal pada tahun lalu.
Pada awalnya, Ganeson yang juga bekas sami Buddha itu mengakui, beliau terperangkap dalam dilema untuk menganut agama suci tersebut atas beberapa faktor.
Namun selepas beberapa ketika, akhirnya beliau mengambil keputusan nekad untuk bersyahadah bersama isterinya, Khanamon Iammot, 59, dan keluarga bapa mentuanya pada waktu yang sama.
Pemimpin dalam keluarga
Melihat kepada ketiga-tiga kisah saudara baharu tadi, benarlah perkahwinan boleh menjadi medium dakwah yang ampuh.
Tambah memberi impak lagi apabila suami yang menjadi model kepada isterinya kerana lelaki sifatnya memimpin, ungkapnya.
Malah katanya, orang yang didakwah (pasangan) itu pula berada 24 jam bersamanya, maka akan memudahkan proses membimbing mereka.
"Ada lelaki Muslim yang berkahwin dengan ibu tunggal anak tiga. Lama-kelamaan anak-anak itu juga akan masuk Islam kerana melihat akhlak baik yang ditonjolkan oleh ayah, bapa solat, elok tutur katanya, tidak memaki hamun, tidak minum arak dan lain-lain.
"Itulah nilai Islam yang dibawakan oleh Rasulullah SAW iaitu akhlak. Ramai yang masuk Islam di bawah Perkim Cawangan Klang kerana faktor akhlak yang menjadikan mereka tertarik dengan agama suci ini," katanya.
Syahadah disusuli tarbiah
Sebelum seseorang itu menganut Islam asbab perkahwinan, Hushim yang juga seorang kaunselor memberitahu, pihaknya akan memberi penerangan terlebih dahulu tentang agama suci itu, tujuan dan matlamat perkahwinan dalam rumah tangga.
"Selepas syahadah dilafazkan, mereka akan mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam. Kalau di Selangor, kita ada Majlis Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan banyak lagi seperti di masjid.
Tokoh agama Perkim Cawangan Klang, Ustaz Saifudin Ahmad yang berpengalaman mengislamkan saudara baharu hampir 10 tahun menjelaskan, terdapat garis panduan tertentu dalam proses syahadah berkenaan.
Bukan sahaja memperkenalkan lafaz dua kalimah syahadah, mereka juga akan diperkenalkan dengan Rukun Islam dan Rukun Iman, selain apa yang perlu dilakukan selepas memeluk agama Islam.
"Kepada mereka yang masih mempunyai keluarga, kita nasihatkan supaya tidak memutuskan hubungan tersebut walaupun familinya belum Islam. Andai patut diziarah, kita galakkan mereka berbuat demikian.
"Akhir sekali, kita letakkan harapan penuh kepada mereka supaya tidak terkeluar daripada ajaran Islam,” katanya.