TAHUKAH anda bagaimana zakat dikutip dan ke mana ia diagihkan? Tanda tanya ini kerap menjadi persoalan khususnya buat Muslimin yang telah sedar akan kewajiban berzakat.
Istimewa untuk umat Islam di negeri Pulau Pinang, mulai akhir Oktober 2023 Zakat Pulau Pinang (ZPP) menganjurkan Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang. Majlis pelancarannya telah diadakan pada 26 Oktober lalu dan berakhir dengan program Seminar Isu-Isu Kefatwaan Zakat (SIFZa 3.0) pada 12 Disember 2023.
Program yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang DiPertua MAINPP, Dato' Dr Mohamad bin Abdul Hamid di Masjid Al-Qahhar Permatang Damar Laut, Pulau Pinang itu turut meraikan 2,000 orang asnaf dan 400 orang muzakki.
Selain menyemarakkan kesedaran berzakat dalam kalangan Muslimin di Pulau Pinang, ia bertujuan menguar-uarkan kepada khalayak tentang bagaimanakah wang zakat dibelanjakan setiap tahun. Makluman secara telus ini semestinya memberi ketenangan kepada muzakki dan orang ramai.
BZNPP2023 menawarkan tiga objektif utama. Pertama, menyemarakkan kesedaran berzakat kepada umat Islam di Pulau Pinang. Kedua, mempromosikan ZPP melalui program kutipan dan agihan yang dianjurkan. Ketiga, membina kepercayaan dalam kalangan muzakki dan mustahik terhadap institusi ZPP yang bertanggungjawab mengutip dan mengagihkan wang zakat melalui program yang diadakan.
Serentak dengan objektif utama tersebut, ia turut menekankan tiga prakarsa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh ZPP, selaku organisasi zakat yang dilantik oleh MAINPP.
Prakarsa Pertama
Prakarsa pertama ialah tanggungjawab melaksanakan amanah yang diberikan kepada organisasi zakat. Kita sedia maklum, zakat merupakan amanah ALLAH SWT kepada seluruh Muslimin. Manakala dalam konteks Malaysia, penguasa zakat adalah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan agensi pelaksananya adalah Agensi Mengurus Zakat (AMZ).
Bagi amanah kepada para muzakki, mereka wajib berzakat apabila segala syarat wajib zakat sudah ada pada diri dan harta mereka. Haram hukumnya jika sengaja meninggalkan kewajipan zakat, maksudnya jika sengaja mengelak daripada berzakat, seseorang itu boleh dikategorikan sebagai tidak amanah.
Aspek amanah yang kedua ditujukan kepada mustahik atau penerima zakat (asnaf). Para asnaf terikat dengan sifat amanah kerana mereka wajib menjaga amanah harta zakat yang telah diberikan dengan cara yang sewajarnya.
Mereka tidak boleh menyalahgunakan wang zakat dengan membelanjakan kepada perkara yang tidak berfaedah dan dilarang agama, contohnya membeli rokok, nombor ekor, arak, minuman yang memabukkan atau benda-benda yang tidak mendatangkan faedah.
Harta zakat itu sepatutnya dibelanjakan untuk faedah diri dan keluarga, persekolahan anak-anak, membeli ubat-ubatan atau makanan.
Akibat tidak melakukan perkara yang sepatutnya, dosa kerana tidak amanah dengan harta zakat akan bertambah; pertama kerana menyalahgunakannya dan kedua, kerana menzalimi orang lain dengan tindakan yang tidak amanah. Dalam hal ini mereka dikira berdosa di sisi ALLAH.
Menggabungkan antara muzakki dan mustahik, maka wujud di tengah-tengahnya tanggungjawab amanah dari aspek ketiga iaitu petugas zakat atau disebut golongan amilin. Para amilin sebenarnya adalah istimewa di sisi Islam.
Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, mereka yang dipilih menjadi amilin ialah orang yang amanah dan bijaksana. Sifat amanah menjadi prioriti kerana tugas mereka melibatkan harta. Andai terhakisnya sifat amanah bererti terdedahlah harta zakat kepada pelbagai bentuk penyelewengan.
Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitab Fiqh az-Zakah berkata; para amil itu mesti dilantik dalam kalangan orang yang kuat imannya, berilmu dalam fiqh zakat dan mampu menanggung amanah harta dengan tahap akauntabiliti yang tinggi.
Ini kerana, apabila wang zakat sudah diberikan kepada amil, maka terlepaslah beban di pihak muzakki.
Prakarsa kedua
Prakarsa kedua ialah tanggungjawab melaksanakan dakwah bil-hikmah kepada muzakki. Ayat 125, Surah an-Nahl menyebut, dakwah hendaklah dilakukan secara berhikmah (secara bijaksana). Ayat ini wajar menjadi pegangan petugas zakat supaya usaha dakwah tidak tersasar daripada tujuannya yang sebenar.
Dalam kalangan mustahik tentunya ada adat resam dan pantang larang berdasarkan sub-budaya masing-masing yang perlu difahami jika petugas zakat ingin berdakwah dengan lebih efektif.
Begitu juga dengan golongan muzakki, cara hidup dan pemikiran mereka tentu berbeza dengan mustahik; justeru cara berdakwah pasti berbeza antara kedua-duanya.
Hikmah juga menuntut petugas zakat memahami suasana masyarakat. Hal ini penting supaya dapat menghindari sebarang ancaman dan penolakan kepada usaha dakwah tersebut.
Satu lagi pendekatan dakwah secara hikmah adalah dengan menyampaikan mesej Islam dalam ibadah zakat secara bertahap. Melalui pendekatan ini, petugas zakat wajar menitikberatkan persoalan masa dalam usaha dakwah dan tidak tergesa-gesa dalam mencapai tujuan dakwah.
Dalam konteks zakat, adalah lebih utama untuk memahamkan golongan sasar tentang ibadah berzakat daripada tergesa-gesa menyuruh prospek membuat bayaran zakat yang telah ditaksirkan.
Prakarsa ketiga
Prakarsa terakhir ialah melayani muzakki dan mustahik. Kita sering mendengar aduan orang ramai terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan zakat seperti permohonan lambat diproses, birokrasi, kurang budi bahasa di kaunter, lambat menjawab panggilan telefon dan petugas zakat berdakwah dalam cara kurang harmoni.
Walaupun kes sebegini jarang berlaku dalam organisasi zakat, namun jika ia terjadi, pasti imej organisasi akan tercalar. Penambahbaikan dari semasa ke semasa perlu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan muamalah para petugas zakat.
***Dr Mohamad Salleh Abdullah ialah Pengerusi Jawatankuasa Sambutan dan Protokol Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang 2023