NRECC bantah pelaksanaan pengubahsuaian KSAS di Kelantan

Iklan
Nik Nazmi

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), jabatan serta agensi berkaitan mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan Kelantan berhubung pelaksanaan cadangan perubahan pelan pembangunan yang berkaitan dengan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri tersebut.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pandangan kerajaan Persekutuan mengenai hal berkenaan telah dikemukakan menerusi sepucuk surat kepada Menteri Besar, Datuk Mohd Nasruddin Daud.

Iklan
Iklan

"Saya berharap agar Kelantan mempertimbangkan semula cadangan pengubahan rancangan pemajuan melibatkan KSAS dan bersama-sama dengan NRECC untuk memperkasakan pengurusan serta pembangunan hutan dan mengekalkan kawasan hutan sedia ada demi kelestarian alam sekitar," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, keputusan Kelantan untuk melakukan pengubahsuaian KSAS secara langsung akan memberikan implikasi yang besar.

Iklan

"Ia akan menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara (RFN)," katanya.

Ujar Nik Nazmi, pengekalan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebagai KSAS akan memastikan kawasan tersebut tidak boleh dibangunkan sewenang-wenangnya pada masa hadapan.

Iklan

"Selain itu, cadangan pengeluaran KSAS di jajahan Gua Musang dikhuatiri akan menjejaskan status Taman Negara Kelantan," katanya.

Tambah beliau, pengeluaran daripada jumlah KSAS sedia ada dari jajahan Jeli dan Gua Musang adalah hampir 88 peratus sekali gus akan menjejaskan rangkaian ekologi Central Forest Spine dan keseimbangan ekosistem di Kelantan.

Ini kerana katanya, kawasan tersebut merupakan KSAS Tahap 1 yang merangkumi kawasan perlindungan sedia ada.

"Populasi Harimau Malaya dan lain-lain spesies di Kelantan termasuk gajah, seladang dan tapir akan terjejas disebabkan oleh kehilangan habitat selain menjejaskan pergerakan haiwan-haiwan tersebut dari negeri-negeri bersebelahan iaitu dari Perak, Pahang dan Terengganu," katanya.

Tegas beliau, kehilangan habitat akan meningkatkan konflik manusia dan hidupan liar yang menyebabkan kerugian akibat kemusnahan hasil tanaman dan kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa.

Menurutnya, tindakan itu juga dilihat akan memberi impak secara tidak langsung kepada morfologi sungai.

"Aktiviti guna tanah akan memberi kesan kepada pergerakan sedimen ke dalam sistem sungai dan seterusnya menyumbang kepada kekeruhan sungai.

"Pergerakan sedimen akan menyebabkan sungai menjadi cetek seterusnya menyebabkan kejadian banjir.

"Hujan di kawasan tinggi yang telah dibuka akan menyebabkan gelinciran tanah yang membawa lumpur, batang kayu dan batuan ke kawasan kaki bukit dan berlakunya kepala air," kata Nik Nazmi.

Selain itu, penebangan hutan yang tidak terkawal hasil daripada pengubahsuaian KSAS juga dilihat dapat menyumbang kepada masalah banjir.

"Selama lebih dari satu dekad, Kelantan masih menghadapi isu banjir kilat dan fenomena itu dilihat semakin serius disebabkan oleh kemusnahan hutan akibat aktiviti manusia yang tidak terkawal," katanya.

Ujar beliau, hutan berperanan sebagai span semulajadi dalam menyerap air hujan.

"Oleh itu, pokok memainkan peranan penting dalam menghalang aliran sedimen dan mengekalkan air, menjadikannya komponen penting dalam memelihara persekitaran yang stabil," katanya.