PUTRAJAYA - Kedaulatan, keadilan keperluan dalam membina sistem penjagaan kesihatan yang lestari serta kesedaran awam dan ketelusan antara prinsip asas Malaysia di dalam setiap rundingan antarabangsa.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, prinsip tersebut juga mendapat sokongan daripada negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang lain.
"Semua negara anggota telah bersepakat untuk menubuhkan dua platform rundingan iaitu Intergovernmental Negotiating Body (INB) untuk menghasilkan instrumen antarabangsa yang dikenali sebagai INB WHO Ca (pandemic treaty) dan Working Group on Amendments to the International Health Regulations (WGIHR) bagi memperkukuhkan aspek kesiapsiagaan, pencegahan, pengesanan serta respon terhadap pandemik di peringkat antarabangsa untuk mengurangkan impak terhadap sesebuah negara," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam rundingan INB WHO Ca dan WGIHR mencerminkan komitmen negara dalam usaha memperkukuhkan keselamatan kesihatan global dan pencegahan wabak di masa hadapan.
"Proses rundingan ini tidak terhad kepada bidang kesihatan awam sahaja namun ia turut meliputi lain-lain bidang berkaitan seperti perdagangan, persekitaran, geopolitik, sosioekonomi dan sebagainya," jelas beliau.
Ujar Dr Muhammad Radzi, Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai penyelaras kedua-kedua rundingan itu telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara.
"Inisiatif ini bagi memastikan kedaulatan dan undang-undang Malaysia terpelihara serta kepentingan rakyat dilindungi dan diutamakan," katanya.
Tambah beliau, rundingan telah berlangsung sehingga kini melibatkan penyertaan delegasi negara anggota WHO, termasuklah Malaysia.
Metodologi rundingan yang sistematik dan komprehensif memberi peluang untuk setiap negara menyuarakan pandangan dan pendirian masing-masing.
Setiap usul yang dimasukkan di dalam draf bagi kedua-dua dokumen itu dikupas secara terperinci dengan mengambil kira keupayaan dan kebolehlaksanaan negara anggota.
"Pendirian Malaysia adalah jelas bertujuan bagi menjaga kepentingan kesihatan awam selaras dengan undang-undang dan kedaulatan negara dalam setiap sesi rundingan," katanya.
Jelas beliau, proses rundingan WHO CA dan pindaan IHR 2005 adalah terbuka kepada pandangan dan perbincangan dari semua negara anggota.
"Keputusan muktamad hanya akan diberikan apabila semua negara anggota bersetuju dalam rundingan tersebut.
"Justeru, KKM sentiasa terbuka untuk sebarang pandangan bagi memastikan proses rundingan ini berjalan secara lancar dan bermanfaat kepada negara," katanya.
Tegas Dr Muhammad Radzi, Malaysia komited untuk memastikan perjanjian antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan kepentingan kesihatan awam tetap mendahulukan pemeliharaan kedaulatan negara.