Lelaki didakwa lakukan amang seksual terhadap dua budak

Iklan
Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun.

IPOH - Seorang guru Bahasa Arab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid Tahun 6, Jun lalu.

Tertuduh, Abdul Halim Ismail, 35, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa selesai membaca pertuduhan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang dipanggil ustaz itu didakwa dengan maksud seksual menyentuh kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dengan mencium, meraba dan menggosok kemaluan mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal itu di sebuah bilik rumah peranginan di Pulau Pangkor antara jam 10 malam hingga 11 malam pada 28 Jun lalu.

Iklan

Dia yang masih bujang itu turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama di bilik berlainan sebuah resort di Pulau Pangkor antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam pada 30 Jun lalu.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum diberikan dengan alasan menjaga bapa sakit dan membantu adik-beradik yang susah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tertuduh dilarang mendekati serta menganggu mangsa.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Disember depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.