KUALA LUMPUR - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-263 (Khas) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Mesyuarat yang bermula 10.10 pagi itu dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.
Raja-Raja Melayu yang berangkat ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut berangkat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Terdahulu, sejurus ketibaan, Raja-Raja Melayu merakamkan gambar kenang-kenangan sebelum memulakan mesyuarat dan proses pemilihan dijalankan.
Mesyuarat khas itu berakhir kira-kira sejam kemudian dan keputusan pemilihan dijangka diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja petang ini.
Pemilihan itu diadakan susulan tempoh lima tahun penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, bakal tamat pada 30 Januari tahun depan.
Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari tahun sama. - Bernama