BAYAN LEPAS - Menyemarakkan kesedaran berzakat dalam kalangan masyarakat Muslim seterusnya memberi manfaat dan impak yang besar kepada pembayar dan penerima zakat menjadi objektif utama penganjuran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang tahun 2023.
Penganjuranya yang telah memasuki edisi kelima adalah manifestasi Zakat Pulau Pinang (ZPP) dalam tiwikrama visi yang ditetapkan iaitu mengungguli usaha mewujudkan keseimbangan sosio-ekonomi ummah di negeri Pulau Pinang khususnya.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, bagi menjayakan penganjuran Bukan Zakat Negeri Pulau Pinang tahun ini sebanyak 15 pengisian program telah diaturkan.
Menurutnya, pelaksanaan program tersebut memfokuskan kepada pendekatan dakwah zakat yang lebih efektif dalam melahirkan prospek muzakki dan menyantuni mustahik dengan efisien di negeri Pulau Pinang.
"Pelancaran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang pada tahun ini juga menekankan kepada iltizam mengukuhkan agenda ekonomi madani yang meletakkan aspirasi untuk memperjuangkan keadilan sosial untuk meningkatkan darjat hidup rakyat terutama dalam kalangan mustahiq di Pulau Pinang.
"Dengan pengalaman operasi pengurusan Zakat Pulau Pinang yang akan menyambut Jubli Mutiara 30 tahun penubuhannya tahun hadapan, Zakat Pulau Pinang yakin dan komited terhadap usaha pemberdayaan ekonomi madani dalam memenuhi tuntutan ekonomi yang berdaya saing di Pulau Pinang," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang 2023 di Masjid Al-Qahhar, Permatang Damar Laut, di sini pada Khamis.
Hadir menyempurnakan pelancaran, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Amran berkata, pelbagai program dan aktiviti yang akan dilaksanakan pada Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang tahun ini dan akan diisi dengan program-program yang memberi impak kepada mustahiq dalam memacu kestabilan jaminan sosio-ekonomi ummah melibatkan aktiviti pembangunan dan pemerkasaan asnaf.
Antaranya seperti kursus pembangunan usahawan Zakat Pulau Pinang dalam pensijilan Halal Malaysia; Majlis serahan geran Hospital Negeri Pulau Pinang; Majlis penyerahan skim dermasiswa pengajian dan skim permulaan IPT; Majlis penyerahan saguhati jawatankuasa kariah dan guru agama serta guru al-Quran Pulau Pinang; program hari bersama pesakit Pusat Hemodialisis Zakat dan ziarah kasih asnaf di Daerah Barat Daya.
"Turut diadakan, program dakwah bagi mengekalkan komitmen muzakki dan menjejaki muzakki baharu Zakat Pulau Pinang seperti program 'Keep in Touch' bersama wakil kutipan; program pelancaran dakwah Truck Zakat Pulau Pinang; program himpunan murabbi dan majlis apresiasi sukarelawan pengemaskinian data kariah," katanya.
Dalam pada itu, Amran berkata, tidak dilupakan juga program bagi segmen keilmuan menerusi program bicara berkat bersama Pengerusi al-Ikhsan Sport Sdn Bhd, forum ceramah perdana zakat dan seminar isu kefatwaan zakat 2023 (SIFZA 3.0).
Amran berkata, penganjuran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang ini bukan sekadar program tahunan, malah ia merupakan program penting banyak mempengaruhi prestasi jumlah kutipan dan pembayar zakat terutamnya pada penghujung hujung bulan Disember.
"Harapannya impak daripada program-program yang dilaksanakan akan menyemarakkan kesedaran masyarakat muslim di Pulau Pinang bagi melaksanakan kewajipan berzakat.
"Ia sekali gus menjadikan satu ekosistem yang efisien dalam dakwah pengurusan kutipan zakat dan agihan bantuan zakat di Pulau Pinang bagi memastikan golongan pembayar zakat terus memainkan peranan dan golongan penerima pula dapat dibantu bagi meningkatkan taraf hidup," katanya lagi.