Negeri Sembilan buka Tabung Khas Palestin

Iklan
Aminuddin (tujuh dari kiri) bersama barisan ADUN Negeri Sembilan sebaik selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Pengerusi dan Setiausaha JPKK Negeri Sembilan pada Jumaat.

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan menggerakkan Tabung Khas Palestin dalam masa terdekat sebagai tanda solidariti dan inisiatif keprihatinan bagi membantu umat Islam di Palestin yang terkesan dengan kekejaman lsrael.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tabung berkenaan akan diedarkan kepada ketua-ketua kampung sebelum mereka membuat kutipan dari rumah ke rumah penduduk di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Ini sebagai komitmen kita yang benar-benar nak tunjukkan bahawa tidak seorang pun rakyat di negeri ini terkecuali daripada menderma waima 10 sen ataupun RM1.

"Ini adalah semangatnya, orang Negeri Sembilan bukan hanya berkata-kata (tentang Palestin) tetapi nak tunjukkan bahawa kita bersolidariti.

Iklan

"Kita mahu hasrat mereka supaya sampai kepada masyarakat Palestin di Gaza," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.

Katanya, Kerajaan Perpaduan hari ini sangat kukuh dan akan terus menjalankan pelbagai agenda untuk rakyat termasuk menjadi sebuah negara Islam yang mendepani isu kemanusian di Palestin.

Iklan

"Malaysia berjaya membangkitkan kesedaran dalam kalangan negara-negara Arab untuk membantu konflik di Palestin.

"Ini disebabkan imej Malaysia kini dilihat sangat kukuh dan padu oleh negara-negara luar," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah memuktamadkan pengisian 394 Pengerusi dan 394 Setiausaha JPKK seluruh negeri ini.

"Adalah menjadi harapan kerajaan negeri agar semua kepimpinan di peringkat akar umbi lebih cakna menyantuni masyarakat.

"Jadilah mata dan telinga kerajaan yang berkesan tanpa mengira sempadan politik atau bangsa," katanya.