PLUS tutup lorong tambah nilai mulai esok hingga 2 Januari

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol masuk seliaannya, mulai esok hingga 2 Januari depan bagi melancarkan pergerakan trafik sempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

PLUS dalam kenyataan malam ini memaklumkan penutupan yang dilaksanakan pada setiap musim perayaan itu, bertujuan mengurangkan kesesakan yang disebabkan pelanggan beratur, di lorong tambah nilai plaza tol.

Iklan
Iklan

Pada musim perayaan ini, PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 18 peratus kepada dua juta kenderaan berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari biasa.

"Oleh itu, perjalanan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pelanggan yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi. Apabila ini berlaku, ia sudah pasti mengganggu keselesaan dan perjalanan pelanggan lain,” menurut kenyataan itu.

Iklan

PLUS juga tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol.

Justeru, PLUS menasihatkan pelanggan merancang perjalanan dan menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal di kira-kira 11,000 pusat menambah nilai kad Touch ‘n Go di seluruh negara, yang merangkumi mesin ATM, R&R, stesen minyak dan kedai serbaneka.

Iklan

PLUS turut memaklumkan, pelanggan lebuh raya itu masih belum boleh menggunakan perkhidmatan e-Wallet PayDirect pada ketika ini. - Bernama