SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mengeluarkan kata-kata berbaur seksis terhadap Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok bertentangan prinsip kesopanan dan kesusilaan Rukun Negara.
Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Ekonomi Penjagaan, Anfaal Saari berkata, kenyataan dikeluarkan semasa sesi perbahasan Belanjawan 2024 adalah tidak dapat diterima semua pihak.
"Saya mengutuk sekeras-kerasnya dengan kenyataan gangguan seksual ditujukan kepada Teresa oleh Ahli Parlimen Perikatan Nasional dari Langkawi," katanya dalam satu kenyataan di aplikasi X pada Jumaat.
Anfaal berkata, tingkah laku sedemikian juga disifatkan tidak terhormat, tidak beretika dan menunjukkan kurangnya kesopanan dalam perwakilan rakyat lebih-lebih lagi di dalam Dewan Rakyat.
"Seharusnya sorang wakil rakyat harus mempunyai etika yang tinggi dan bersikap profesional.
"Kenyataan menjijikkan terhadap wanita tiada tempat di arena politik mahu pun kehidupan seharian," tegas beliau.
Pada Khamis, Dewan Rakyat kecoh seketika susulan tindakan Suhaimi mengeluarkan kata-kata berbaur seksis terhadap Teresa.
ARTIKEL BERKAITAN:'Jemput' Teresa Kok ke Langkawi, Mohd Suhaimi didakwa komen lucah
Kenyataan itu dibuat sejurus Kok bangkit mencelah ucapan Suhaimi ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 dengan bertanyakan sama ada boleh datang ke Langkawi dengan memakai seluar pendek.