Wakaf investasi akhirat

Iklan
USTAZ MOHD HAIRULAMIN menunjukkan poster kaedah berwakaf menerusi MAIM iaitu sama ada menerusi kaunter, akaun bank, aplikasi MelakaPay atau Boost dan secara potongan gaji bulanan. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Ibarat ‘pendapatan tambahan’ yang berterusan hingga kita dibangkitkan kelak

BIARPUN jasad kita sudah tiada lagi di dunia, namun pahala tetap berterusan mengalir. Tidak terhenti setakat itu, semuanya akan menjadi bekalan tambahan kita ketika dibangkitkan pada hari akhirat kelak.

Demikian gambaran imbalan wakaf yang bakal diraih andai kita ikhlas melakukan semata-mata kerana ALLAH SWT.

Iklan
Iklan

Mengulas lanjut, Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ustaz Mohd Hairulamin Mohd Sis menjelaskan, terlalu besar manfaat berwakaf jika mahu dihuraikan satu persatu.

Beliau memberikan analogi amalan itu sebagai ‘pendapatan tambahan’ kepada seseorang kerana ia merupakan satu bentuk ibadah kepada ALLAH SWT.

Iklan

USTAZ HAIRULAMIN

"Meskipun dianggap sebagai bekal tambahan, tetapi ketahuilah bahawa wakaf merupakan satu ibadah yang tarafnya menghampiri wajib.

Iklan

"Ini bermakna, begitu berat timbangannya (amalan ini). Alangkah ruginya jika mana-mana orang yang ada lebihan harta ataupun hanya ada sesuatu aset, tetapi tidak berwakaf,” katanya kepada Sinar Islam (SI) menerusi program Podcast POV SI+ baru-baru ini.

Pahala mengalir

Kemanisannya bukan sahaja dirasai oleh diri sendiri, tetapi Ustaz Mohd Hairulamin berkata, tempiasnya turut dikecapi oleh masyarakat dan negara.

Ketahuilah, amalan berwakaf merupakan suatu instrumen atau alat ekonomi untuk mengembangkan dan menjana potensi ekonomi umat Islam dari pelbagai bentuk.

"Salah satunya bersifat kebaikan yang mana ia memenuhi keperluan masyarakat. Barangkali komuniti di sekeliling memerlukan suatu keperluan, maka wakaf tersebut boleh menanggungnya.

"Dari satu segi, ia boleh menjadi satu sumber pendanaan ekonomi umat Islam sama ada melalui pembinaan infrastruktur, peluang-peluang perniagaan, mempelbagaikan portfolio untuk penyediaan modal yang akhirnya memberikan manfaat semula kepada keperluan masyarakat,” tuturnya.

Empat produk wakaf

Lantaran kelebihan amalan itu yang bukan calang-calang, MAIM mengajak seluruh umat Islam untuk berwakaf bersama pihaknya.

Ujar Ustaz Mohd Hairulamin, sumber dana tunai yang diterima daripada orang ramai akan disalurkan kepada empat bahagian iaitu wakaf pembangunan institusi Islam seperti masjid dan surat serta tempat beribadah umat Islam.

Selain itu, sumbangan tersebut turut disalurkan untuk wakaf pendidikan, kesihatan dan pembangunan, ungkapnya.

"Untuk wakaf kesihatan misalnya, kami merancang menyediakan sebuah pusat rawatan Islam berasaskan wakaf. Ketika ini, kita cuma ada sebuah pusat dialisis dijalankan bersama Yayasan Toh Puan Zurina yang menyediakan rawatan dialisis.

"Kami bercadang untuk menyediakan perkhidmatan rawatan am bersalin ataupun sakit puan, di samping pusat dialisis tambahan khususnya untuk golongan fakir dan miskin,” katanya.

Bagi wakaf pembangunan pula, Ustaz Mohd Hairulamin menjelaskan, ia bertujuan untuk menambah pemilikan ekuiti umat Islam dalam bentuk harta kekal khususnya melibatkan bangunan komersial.

"Pada masa ini, kami mempunyai lebih 200 unit premis komersial yang disewakan dan berhasrat untuk menambahnya lagi supaya dapat meningkatkan pendapatan untuk diagihkan semula manfaatnya kepada masyarakat,” katanya.

EDITOR SI+, Muhd Azman (hos Podcast POV SI+) menemu bual Ustaz Mohd Hairulamin (kanan).

Kepada mereka yang berminat untuk berwakaf, MAIM menyediakan beberapa platform.

Selain kaedah konvensional iaitu berwakaf di kaunter MAIM, beliau berkata, orang ramai boleh menggunakan aplikasi Boost dan aplikasi e-Bayar kerajaan Melaka, MelakaPay atau menerusi akaun bank, Bank Islam Saham Wakaf Majlis Agama Islam Melaka, 0401 5010 0174 34.

"Kami juga menerima sumbangan wakaf secara potong gaji bulanan serendah RM2 sahaja.

"Satu lagi cara, boleh berwakaf menerusi mutawalli (ejen wakaf MAIM). setakat ini, kami mempunyai empat institusi pendidikan yang ditauliahkan sebagai mutawalli wakaf untuk membolehkan mereka menggerakkan sendiri dana wakaf di peringkat institusi masing-masing. Cuma berwakaf dengan mutawalli, dana tadi disalurkan hanya untuk institusi berkenaan,” katanya.

Sempena Bulan Wakaf Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023, pelbagai program menarik dirancang oleh MAIM sepanjang ia berlangsung bermula akhir September hingga 4 November depan.

Antaranya termasuklah program gotong-royong, ceramah, tazkirah, forum dan persidangan bagi merancakkan lagi kesedaran berwakaf kepada masyarakat.