SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor meluluskan peruntukan kecemasan berjumlah RM10 juta bagi pembaikan cerun di lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Kajang.
Peruntukan itu susulan kejadian runtuhan baharu berlaku minggu ini sekali gus menyebabkan runtuhan sedia ada semakin teruk dan menjejaskan keselamatan penghuni di 27 buah rumah.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, peruntukan kecemasan disalurkan bagi tujuan menstabilkan tanah di kawasan cerun di lokasi tanah runtuh berkenaan.
"Perkara ini (keadaan cerun di lokasi tanah runtuh) sudah (berlaku) agak lama namun, dua tiga hari ini keadaannya (runtuhan) makin serius dan sudah nampak pergerakan (tanah).
"27 rumah terlibat juga sudah diminta dikosongkan dan kerja pembaikan akan dilaksanakan segera kerana ini adalah situasi kecemasan," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Beliau ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kerajaan negeri Selangor kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini.
Pada Khamis, penduduk terjejas di Taman Bukit Mewah, Kajang dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa tempatan susulan keadaan runtuhan sedia ada semakin teruk.
Dalam pada itu, Izham berkata, beliau akan ke melawat lokasi pada Ahad ini manakala penghuni di kawasan terjejas akan ditempatkan ke rumah sewa dan diuruskan Majlis Perbandaran Kajang.
"Kini (keadaan runtuhan) sudah makin serius, jadi kita terpaksa mengikut kaedah kecemasan kerana kita tidak boleh mengikut kaedah biasa (pembaikan) menerusi tawaran tender," katanya.