AKSI getir Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk merebut tempat dua terbaik Liga Super 2023 pada baki empat perlawanan akhir bermula dengan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman pada petang Sabtu.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, tiga mata penting wajib diraih oleh anak buahnya pada perlawanan tersebut dan percaya bakal menempuh tentangan sengit daripada skuad Hobin Jang Hobin.
Menurutnya, beraksi di laman sendiri tidak memberikan kelebihan besar kepada Sang Kenari namun tetap mengharapkan akan memperolehi sokongan ribuan penyokong untuk memenuhi gelanggang keramat Sang Kenari.
"Saya menganggap aksi di laman sendiri tidak memberi jaminan serta kelebihan kerana pernah dikecewakan pada aksi-aksi sebelum ini walaupun beraksi di 'home'.
"Kami perlu terus berusaha lebih gigih serta bekerja keras bagi memastikan kami dapat memungut tiga mata berharga untuk laluan yang lebih lancar dalam menunju baki kesemua perlawanan liga," katanya mengulas aksi bertemu skuad kendalian K Devan pada petang Sabtu.
Jelas Nafuzi, tiga mata yang disasarkan tersebut penting buat KDA FC bagi meningkatkan motivasi para pemain bagi menghadapi tiga aksi seterusnya bertemu Kelantan FC pada 24 November, Selangor FC (2 Disember) dan Sabah FC (17 Disember).
Menurutnya, persiapan dan latihan turut diadakan pada sebelah petang bagi memberikan ruang kepada pemain untuk menyesuaikan keadaan menjelang aksi sebenar menentang NSFC.
Selepas 22 perlawanan, KDA FC kini menghuni tangga ketiga Liga Super dengan 47 mata manakala NSFC FC di tangga ke sembilan dengan mengumpul 21 mata.