Pudarnya dialek di Perak beri kesan terhadap identiti, jati diri

Iklan
Penggunaan dialek di Perak perlu didedahkan kepada golongan remaja kerana dialek dianggap sebagai khazanah dan bukanlah sesuatu perkara untuk dimalukan. - Foto hiasan/Bernama

IPOH - Perak mempunyai pelbagai bahasa dialek kerana bersempadan dengan banyak negeri lain, namun pertuturan dalam bahasa itu yang semakin kurang digunakan terutama dalam kalangan generasi muda memberi kesan terhadap identiti dan jati diri masyarakat.

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin berkata, menerusi kajiannya berkenaan penggunaan dialek di seluruh Perak, beliau mendapati golongan remaja negeri itu terutamanya mereka yang berusia 15 tahun ke bawah tidak bertutur dalam dialek Perak.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara alasan yang diberikan adalah kerana bimbang sekiranya mereka terbawa-bawa menulis karangan dalam bahasa dialek, sedangkan di sekolah hanya menggunakan bahasa baku, selain berasa malu untuk bertutur dalam dialek berkenaan.

Katanya, faktor lain yang penyumbang kepada kurangnya pertuturan dalam bahasa dialek Perak antaranya adalah asimilasi daripada bahasa Jawa dan Banjar ke bahasa standard.

Iklan

Nor Hashimah juga menyentuh budaya penggunaan kata ganti nama juga antaranya 'yop' dan 'nyah' juga sudah jarang kedengaran pada masa kini sedangkan penggunaan itu secara tidak langsung boleh mendedahkan identiti masyarakat negeri ini.

"Orang Perak dulu dia terkenal dengan nama contohnya Nyah Budin, Hitam Shaari, Yop Burhanuddin, namun orang Perak tidak mahu pakai (panggilan) sedangkan itu identiti mereka sebab dia rasa kalau digunakan akan rasa kampung sangat, tetapi sebenarnya kalau pakai Yop Burhanuddin automatik kita faham dia anak sulung.

Iklan

"Nyah pula panggilan untuk anak kedua dan rasa hormat terhadap panggilan itu sangat terasa. Kita tidak akan menengking yop dan nyah sebab kita rasa hormat terhadap mereka, itu falsafahnya di sebalik penggunaan kata ganti nama itu, tetapi sekarang sudah tiada," katanya.

Nor Hashimah berkata, budaya itu perlu diperkenalkan semula kerana mempunyai unsur autoriti serta falsafah di sebalik penggunaannya.

Terdahulu, beliau terlibat sebagai seorang daripada tokoh pembicara pada program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 'Moh Labun Loghat Perak'di sini pada Khamis.

Pada masa sama, Nor Hashimah berkata, penggunaan dialek di Perak perlu didedahkan kepada golongan remaja kerana dialek dianggap sebagai khazanah dan bukanlah sesuatu perkara untuk dimalukan.

"Dialek boleh membentuk identiti dan jati diri mereka, sepertimana orang Kelantan, Terengganu dan Kedah yang tetap kukuh dengan dialek masing-masing. Sepatutnya orang Perak berasa bangga dengan dialek mereka," katanya.

Nor Hashimah berkata, masyarakat boleh membantu menghidupkan semula dialek berkenaan dengan memperbanyakkan skrip menggunakan dialek Perak, contohnya dalam penghasilan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Zombi Kampung Pisang dan Man Laksa.

Beliau berkata, filem berkenaan masih dapat difahami seluruh masyarakat dalam negara serta mampu menyampaikan mesej kepada rakyat tanpa sebarang masalah meskipun filem berkenaan menggunakan dialek Perak.

"Saya sangat mengagumi filem-filem arwah Mamat Khalid kerana menggunakan dialek Perak seperti Hantu Kak Limah yang mampu meraih tiga juta penonton di pawagam, kemudian ditonton berkali-kali menerusi saluran lain.

"Maknanya apa yang nak disampaikan itu (mesej), sampai dan kelakar dalam keadaan yang sangat santai," katanya.

Justeru, beliau berkata, penggiat seni perlu menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan skrip dengan menggunakan dialek Perak khususnya kerana pada masa sama mereka dapat meraikan budaya yang merupakan identiti masyarakat setempat.

Nor Hashimah turut membezakan antara bahasa kolokial yang bermaksud bersifat bahasa percakapan atau bahasa basahan (bukan bahasa baku), sementara dialek adalah subvarian daripada bahasa baku.

Sementara itu, pelakon, pengarah filem dan karyawan Mior Hashim Manap yang merupakan seorang lagi tokoh pembicara dalam program itu berkata, peranan bahasa adalah penting dan jangan sesekali memandang rendah kepada dialek.

"Dialek itulah yang sebenarnya membina jati diri seseorang dan diturunkan daripada atuk dan bapa kamu dahulu. Sebab itulah dulu kita buat kempen ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, RTM ada lagu ‘Muhibbah’, macam-macam telah dilakukan tetapi sekarang sudah tiada," katanya.

Beliau berkata, masalah dihadapi masyarakat kini adalah tidak mengenali diri mereka sendiri, secara tidak langsung lupa akan dialek yang sering digunakan oleh keturunan mereka terdahulu. - Bernama