'Bad anak yang baik, soleh' - Ibu

Iklan
Sharizan mengakui masih terkejut dengan pemergian Bad.

IBU Allahyarham Bad iaitu Sharizan Abdul Ghani menyifatkan anaknya itu seorang yang baik dan soleh, serta menjaganya dengan baik semenjak kematian suami.

Mengakui masih terkejut dengan pemergian anaknya itu, Sharizan berkata, dia sempat menghubungi Allahyarham kurang sejam sebelum Bad menghembuskan nafas terakhir.

Iklan
Iklan

"Saya memang setiap hari telefon dia, tanya dia dah makan ke, balik pukul berapa. Malah pukul 6 (petang) lebih saya ada telefon dia dan dia maklumkan akan pulang lewat serta tidak perlu sediakan makan malam.

"Tidak lama kemudian saya dapat tahu dia sudah tiada dan ia (pemergian Bad) sangat mengejutkan.

Iklan

"Dia anak yang baik, soleh dan menjaga saya dengan baik. Mana saya nak pergi dia akan bawa.

Bad atau atau nama sebenarnya, Badrul Izhan Yeop Abdullah menghembuskan nafas terakhir di tempat kerjanya di Ampang kira-kira jam 7 malam, pada Khamis akibat serangan jantung.

Iklan

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 2.50 petang pada Jumaat di Tanah Perkuburan Kota Damansara.

Anak sulung kepada Allahyarham, Rayyan Badrul Izhan, 14, mengakui bakal merindui segala kenangan terindah dengan ayah, terutamanya aktiviti memasak bersama-sama.

Allahyarham Bad bersama dua anaknya, Rayyan dan Rania menerusi hantaran di Instagram.

Rayyan berkata, pelantun lagu Gadis Misteri itu seorang yang pandai memasak dan sering menghidangkan juadah sambal sotong kegemarannya.

"Semua momen bersama ayah memang saya akan ingat dan rindu,” katanya ringkas.

Rayyan memaklumkan, dia dan adiknya, Rania, 13, mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai berita pemergian tersebut oleh ibu saudara.

Tambahnya, kali terakhir dia berkomunikasi dengan bapanya adalah pada petang semalam dan arwah tampak ceria seperti biasa.

Ujarnya lagi, bapanya pernah memberitahu ingin membelikan but bola, namun tidak menyangka beliau pergi menghadap Ilahi secepat ini.

"Kami berada di Muar, Johor ketika itu, lepas tahu ayah dah tiada, kami sekeluarga terus bergegas datang tengok jenazah ayah.

"Ayah cakap nak belikan but bola untuk saya, tapi dalam dua hari lagi, tak sangka dia pergi dulu,” ujarnya.