KPKT bincang model perniagaan perumahan baharu 'bina dan jual'

Iklan
Kor Ming

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Model perniagaan baharu berkonsepkan 'bina dan jual' bakal diperkenalkan di negara ini bagi mengelakkan berlakunya projek perumahan terbengkalai.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perbincangan mengenai konsep tersebut akan dibuat bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) bagi merangka formula berkesan memastikan tiada pihak yang berisiko menanggung kerugian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat Ogos tahun ini KPKT telah berjaya menyelamatkan 256 projek terbengkalai bernilai RM23.37 bilion.

"Bagi mengelakkan projek perumahan terbengkalai, pilihan yang baik adalah menyelesaikan pembinaan bangunan dulu dan setelah siap baru boleh dijual kepada orang ramai.

Iklan

"Oleh itu KPKT akan bekerjasama dengan Institut Rehda pada bulan depan untuk membincangkan insentif kepada pemaju.

"Insentif ini akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Iklan

"Kita telah menyelamatkan seramai 28,863 pembeli rumah daripada projek terbengkalai pada tahun ini," katanya dalam Pameran Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) di Midvalley pada Jumaat.

Pada 15 Oktober lalu, kira-kira 15 peratus daripada projek perumahan swasta yang sedang dibangunkan di seluruh negara berada dalam kategori sakit atau terbengkalai.

Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sesebuah projek perumahan dikategorikan sakit atau terbengkalai apabila lewat siap 24 bulan bagi projek ‘landed’, manakala lewat 36 bulan untuk projek perumahan bertingkat tinggi.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, model tersebut tidak akan dibuat secara tergesa-gesa dan ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjayakan agenda itu.

Ujar beliau, sekiranya ia diterima oleh pemain industri maka pada masa akan datang tiada lagi projek terbengkalai.

"Saya percaya kerjasama antara antara sektor swasta dan awam akan terus dilakukan bagi memastikan hasrat ini berjaya dilaksanakan dengan baik," katanya.