KPM tak benar penggunaan replika senjata, ikon provokasi

Iklan
Tular video berdurasi 55 saat yang memaparkan seorang lelaki memegang replika senapang dalam satu program di sebuah sekolah.

PUTRAJAYA - Penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi adalah tidak dibenarkan sama sekali sepanjang penganjuran program Minggu Solidariti Palestin.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan pada Jumaat berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme ketika penganjuran tersebut bermula pada 29 Oktober hingga 3 November ini di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana penganjuran berkenaan bertujuan mendidik murid terhadap nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.

"Semua institusi bawah KPM diminta untuk sentiasa mengikuti panduan penganjuran yang telah ditetapkan.

Iklan
"Minggu Solidariti Palestin perlu dijadikan platform untuk mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling hormat menghormati," kata kementerian itu.

KPM berkata, pihaknya menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang mendokong isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, sayembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian dan kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin di sepanjang pelaksanaan program berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai video yang tular di media sosial mengenai sebuah program di sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme, KPM berkata bahawa ia adalah di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin selain tidak mengikuti panduan yang ditetapkan.

Iklan

Terdahulu tular rakaman video yang memaparkan penggunaan objek seakan senapang di sebuah sekolah dalam program berkaitan Palestin.

Selain itu, terdapat juga beberapa keping gambar berasingan yang memaparkan pelajar sekolah memegang senjata mainan pada program berkaitan.