BANGKOK - Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra, dipilih sebagai pemimpin baharu Pheu Thai Party yang mengetuai gabungan kerajaan pemerintah.
Paetongtarn, 37, menang tanpa bertanding bersama barisan baharu ahli jawatankuasa, pada mesyuarat agung Pheu Thai di Bangkok pada Jumaat.
Dalam ucapan sulungnya, Paetongtarn berharap eksekutif baharu akan belajar daripada pengalaman pilihan raya lepas untuk memperoleh sokongan rakyat dalam pilihan raya akan datang.
"Kami akan kembali menjadi parti politik No.1," katanya.
Paetongtarn berkata, Pheu Thai Party komited untuk meningkatkan kehidupan rakyat dengan mendokong hak dan kebebasan mereka.
Pemilihan parti itu diadakan selepas pemimpin Pheu Thai Cholnan Srikaew berundur pada hujung Ogos sebagai menepati janjinya untuk berundur jika parti itu membentuk gabungan dengan parti pro-tentera.
Paetongtarn, yang menggunakan nama panggilan mesra Ung Ing, menceburi politik dua tahun lepas sebagai ketua penasihat pembabitan awam dan inovasi Pheu Thai.
Beliau adalah antara calon perdana menteri parti itu pada Pilihan Raya Umum 14 Mei lepas. - Bernama.