Saksi kemalangan ambulans di Putrajaya diminta tampil bantu siasatan

Iklan
Video tular di aplikasi TikTok yang memaparkan sebuah ambulans terbalik selepas dirempuh sebuah kereta di Putrajaya tengah malam Khamis.

PUTRAJAYA - Sebuah ambulans membawa pesakit terlibat satu kemalangan jalan raya setelah bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Lebuh Bestari - Persiaran Perdana, dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian 11.45 malam itu, sebuah kereta jenis Audi TT FSI Auto dari Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kereta tersebut melalui simpang empat lampu isyarat Lebuh Bestari menghala Persiaran Perdana.

Kata beliau, semasa kereta itu meneruskan perjalanan, lampu isyarat pada ketika itu berwarna hijau.

Iklan

Katanya, sebuah ambulans tiba dari simpang kanan dengan memberi isyarat siren dan hon kecemasan.

"Kereta tersebut yang berada di lorong tengah dipercayai telah hilang kawalan dan tidak sempat membrek dan melanggar ambulans di bahagian kiri.

Iklan

"Akibat kemalangan itu, ambulans tersebut terbalik di atas jalan raya, manakala mereka yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Asmadi berkata, sewaktu kejadian, ambulans tersebut dalam perjalanan dari Presint 18 mengambil pesakit dan menghala ke Hospital Putrajaya.

Katanya, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Menurutnya, pihaknya sedang membuat permohonan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi tujuan siasatan.

Tambahnya, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dan berada di tempat kejadian tampil membantu siasatan.

Katanya, kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.