Penduduk Pulau Pangkor bantah jual arak

Iklan
Pulau Pangkor secara rasminya akan menjadi pulau bebas cukai pada Januari depan.

LUMUT - Penduduk di kawasan Pulau Pangkor menggesa kerajaan supaya mengekalkan pendirian sebelum ini untuk mengecualikan arak sebagai barangan bebas cukai di pulau tersebut.

Wakil penduduk, Roslan Ahmad berkata, sejak Ogos lalu, penduduk di Pulau Pangkor sudah menyuarakan bantahan terhadap usaha untuk menjadikan arak sebagai salah satu item bebas cukai di pulau itu nanti.

Iklan
Iklan

Katanya, bantahan secara aman telah dibuat malah lebih 2,000 tandatangan sudahpun dikumpul daripada penduduk bagi membantah arak dijadikan sebagai barangan bebas cukai.

"Sebelum ini dalam satu dialog bersama penduduk, ada pihak mahukan arak dijadikan sebagai barangan bebas cukai dan kita sebagai penduduk di sini memang bantah perkara ini. Malah hasrat kerajaan untuk mengkaji semula perkara itu turut membimbangkan kami.

Iklan

"Jadi, kita mahu kerajaan kekal dengan pendirian yang diputuskan sebelum ini bahawa arak tidak tersenarai dalam barangan bebas cukai di Pulau Pangkor," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata. pengecualian arak sebagai item bebas cukai masih belum dimuktamadkan oleh jawatankuasa induk pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai (PBC).

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Jual arak bebas cukai di Pulau Pangkor sedang dipertimbang

Roslan berkata, bantahan tersebut mempunyai asas kerana penjualan arak tanpa cukai akan memberi kesan negatif kepada penduduk serta pelancong di Pulau Pangkor.

Katanya, Pulau Pangkor perlu mencipta kelainan daripada PBC yang lain dengan tidak menjadikan arak sebagai tarikan utama ke pulau tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Munir Shaari berkata, bantahan arak dimasukkan sebagai barangan bebas cukai di Pulau Pangkor perlu dilihat dari sudut lain dan bukan sekadar isu halal atau haram.

Katanya, isu alam sekitar lebih utama kerana jika minuman keras diberikan pengecualian cukai, secara tidak langsung kawasan pantai akan kotor dengan botol dan tin yang tidak dibuang.

"Saya tidak mahu pantai kita yang cantik ini dicemari dengan botol dan tin minuman keras kerana ia murah, senang dapat. Alam sekitar akan tercemar dengan bertambahnya longgokan sampah selain membahayakan pelancong lain.

"Harus diingat, selama ini Pulau Pangkor merupakan tempat percutian keluarga. Jadi saya tak nampak kalau arak tidak dijadikan barangan bebas cukai, kita kehilangan pelancong," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas pengunjung, pengalaman mereka di pulau-pulau bebas cukai yang menjadikan minuman keras sebagai item bebas cukai, kawasan pantai mereka dicemari dengan botol dan tin kosong sekali gus membahayakan orang ramai.

Katanya, jika berlaku keadaan itu di Pulau Pangkor, ia akan mengubah persepsi pelancong terhadap pulau tersebut yang selama ini terkenal dengan keindahan dan mempunyai pantai bersih.