MANCHESTER City cubaermain psikologi menjelang aksi derby menentang Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman lawan pada Ahad apabila menyifatkan The Red Devils sebagai pasukan berkualiti.
Jurulatih The Citizens, Pep Guardiola memilih untuk berhati-hati dan hormat dengan kualiti barisan pemain yang dimiliki Red Devils.
"Mereka ada semuanya. Kualiti pemain, stadium, karektor dan momentum,” katanya.
United bangkit meraih kemenangan tipis ke atas Brentford, Sheffield United dan FC Copenhagen dalam tiga aksi terakhir mereka selepas kalah enam daripada 10 perlawanan pertama dalam semua pertandingan musim ini.
City turut mendapat rentak positif setelah melakar kemenangan apabila menewaskan Brighton 2-1 hujung minggu lalu selepas tewas dua aksi berturut-turut dalam saingan EPL buat kali pertama sejak 2018.
Guardiola juga mengakui City belum cukup padu, tetapi akan melihat sejauh mana para pemain mampu bertindak balas terhadap cabaran apabila bertandang ke Old Trafford.
"Mereka boleh menjaringkan gol, kami tahu kualiti yang mereka ada. Sentiasa begitu dan akan sentiasa begitu,” katanya.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu, pada Jun, City menewaskan United untuk menjulang Piala FA, melengkapkan piala kedua dari tiga piala yang diraih mereka.