Kastam rampas lebih 300kg dadah bernilai RM25.5 juta

Iklan
Sazali (tiga dari kanan) menunjukkan antara dadah yang dirampas.

NILAI - Kecekapan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan kelicikan sindiket pengedaran dadah antarabangsa berjaya menghalang dadah seberat 370.8 kilogram bernilai RM25.5 juta masuk ke pasaran, yang dianggar mampu dibekalkan kepada hampir dua juta orang.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, kesemua dadah berkenaan berjaya dirampas dalam tiga operasi bulan ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rampasan terbaharu adalah pada 20 Oktober lalu melibatkan pil ecstasy yang mengandungi dadah jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA), seberat 269.75 kilogram.

"Cawangan Narkotik JKDM dengan kerjasama Pasukan Medan Tempur Operasi Kastam (COBRA) telah bertindak susulan penemuan awal di kargo ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang membolehkan pasukan membuat perancangan satu operasi khas penghantaran terkawal membawa kepada penahanan suspek kes ini.

Iklan

"Dua lelaki warga tempatan berusia 44 dan 57 tahun telah ditahan di sebuah stesen minyak di Damansara Selangor," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM Kampung Jijan di sini pada Sabtu.

Sazali (dua dari kanan) menunjukkan kotak yang mengandungi dadah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas lori suspek menjumpai dua kotak kayu yang disorokkan guni-guni mengandungi dadah berkenaan.

Iklan

Ujarnya, siasatan awal mendapati, dagangan tersebut dibawa masuk menggunakan laluan udara dari sebuah negara Eropah dan transit melalui sebuah negara di Timur Tengah dengan menjadikan negara ini sebagai destinasi terakhir.

Beliau berkata, sebelum itu pada 11 Oktober, JKDM berjaya menggagalkan cubaan mengedar dadah jenis ketamin seberat 91.05 kilogram, bernilai RM5.4 juta.

"Ia susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun di belakang premis di Petaling Jaya, Selangor bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu telah menjumpai empat kotak yang mengandungi ketulan mampat berwarna putih yang mengandungi dadah jenis ketamin," katanya.

Ujarnya, bagi mengaburi pihak berkuasa, sindiket telah mengikrarkan dagangan sebagai 'Tiles Adhesive' dan menukar alamat penerima pada saat akhir, sebelum penghantaran dibuat.

Jelasnya, siasatan awal mendapati dagangan itu diimport melalui laluan udara dari negara Eropah dan tiba di negara ini sebagai destinasi terakhir.

"Rentetan daripada kes itu, telah membawa kepada penahanan satu dagangan di Kompleks Kargo KLIA yang dialamatkan ke Petaling Jaya, Selangor.

"Hasil pemeriksaan ke atas dagangan terbabit mendapati sebuah kotak yang mengandungi ketulan mampat berwarna putih kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 10 kilogram yang disorok di dalam peket makanan anjing," katanya.