Pemilik KDA FC mohon maaf, usaha selesaikan tunggakan gaji

Iklan
Mohd Daud (tengah) pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Ahad.

PEMILIK majoriti saham Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tampil memohon maaf kepada semua penyokong dan peminat kelab itu atas masalah kewangan yang sedang dihadapi mereka.

Menurutnya, masalah tersebut menyaksikan persembahan Sang Kenari kurang mengujakan sejak beberapa perlawanan lalu dan kini pengurusan dalam usaha untuk mengatasi masalah tersebut.

Iklan
Iklan

"Perancangan sedang dibuat untuk melunaskan gaji bulan Ogos sebelum berakhir minggu hadapan iaitu sebelum 7 November 2023. Insya-ALLAH, gaji bulan September 2023 akan cuba dijelaskan juga di bulan November 2023 nanti," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Daud turut memohon maaf kepada ketua jurulatih pasukan Liga Super, Nafuzi Zain, barisan kejurulatihan, semua pegawai dan pemain serta ahli keluarga mereka.

Iklan

Menurutnya, masalah kewangan atau lebih tepat masalah aliran tunai (cash flow) sedang dihadapi KDA FC yang telah menyebabkan masalah tunggakan gaji.

Jelasnya, dalam menyelesaikan masalah kewangan berkenaan, beliau juga bersedia melepaskan kelab sekiranya mendapat tawaran yang berpatutan.

Iklan

"Kalau ada tawaran yang berpatutan dan boleh menampung segala kos dan dengan syarat kami sebagai lembaga pengarah kena berhati-hati. Tanggungjawab ini bukan kerana kewangan semata-mata. Kalau syarikat, kami boleh jual kepada sesiapa.

"Syarikat ada kepentingan untuk negeri dan negara. Ia mencerminkan tentang sesuatu kawasan. Bola sepak adalah wajah kepada sesebuah negeri. Pemilik baharu perlu lihat bahawa ya wang itu penting, tetapi membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi dengan cara Kedah yang tersendiri,” katanya yang mengakui sudah ada beberapa pihak berminat untuk membeli saham kelab itu.

Tambahnya, sebagai pemilik, beliau mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas semua masalah kewangan yang dihadapi KDA FC.

"Bagi saya, pengurusan sebuah kelab bola yang diswastakan sepenuhnya sejak Ogos 2022 adalah tidak ubah seperti menguruskan sebuah syarikat.

"Kadang-kadang, sebahagian percaturan dan strategi pendanaan serta pemasaran tidak berlaku seperti yang dirancangkan. Sumber pendapatan hanyalah daripada sumber yang terhad dalam konteks sumbangan pemegang saham dan juga penajaan serta hasil penjualan tiket selain 'merchandise'.

"Tanpa sokongan penuh pihak kerajaan negeri atau separa kerajaan, ia amat mencabar dalam konteks industri bola sepak profesional Malaysia," ujarnya.