SHAH ALAM - Kerajaan sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diminta lebih proaktif untuk mendesak resolusi segera serta merangka tindakan bagi menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, segala kudrat diplomatik perlu digembleng bukan sahaja melalui Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), malah badan multilateral lain seperti Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan anggota negara Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan (BRICS) untuk mendesak gencatan senjata dipersetujui Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, ia bertujuan mendesak gencatan senjata dipersetujui AS agar tekanan di pelbagai peringkat mampu menghalang segala kekejaman tanpa henti yang dilakukan Israel.
"Komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah tonggak dasar luar negara kita selama ini.
"Namun, keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggerakkan usaha diplomatik di peringkat antarabangsa bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai bukan sahaja amat mendukacitakan, malah memalukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengutuk kekejaman Israel membedil Palestin selepas Hamas bertindak melancarkan serangan mengejut pada 7 Oktober lalu menerusi operasi Taufan al-Aqsa.
Ahli Parlimen Pagoh itu memaklumkan, siri serangan ganas rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Geneva, malah mencabuli hak asasi manusia.
Tambah beliau, perkara yang dilakukan Israel bukan peperangan ke atas Hamas, tetapi genosid atau pembunuhan secara sengaja warga Palestin.
Ujarnya lagi, hipokrasi negara-negara barat yang menjadi sekutu kuat Israel juga membenarkan pembunuhan beramai-ramai tersebut berlaku, malah Majlis Keselamatan PBB menyaksikan usul gencatan senjata ditolak oleh AS dengan menggunakan kuasa veto.
"Bersatu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim rejim Zionis dan menyeru masyarakat antarabangsa mendesak sekatan menyeluruh kemanusiaan ke atas Gaza ditarik balik, PBB perlu tunai tanggungjawab terajui usaha tamatkan sistem apartheid Israel ini.
"Rakyat Palestin amat memerlukan sokongan untuk menghentikan segera pencabulan undang-undang antarabangsa dan memastikan hak serta keselamatan mereka dilindungi,” jelas beliau.