Pengusaha akuakultur perlu buat persediaan rapi sebelum musim tengkujuh

Iklan
Ruzaidi (tiga dari kanan) ketika menghadiri Program 'Rasa-Rasa Akuakultur' Negeri Terengganu 2023 di Pasar Tani Padang Hiliran, di Kuala Terengganu pada Sabtu.

KUALA TERENGGANU - Pengusaha akuakultur terutama melibatkan ternakan ikan sangkar disaran mengambil inisiatif membuat persediaan awal untuk berdepan kemungkinan musim tengkujuh yang dijangka melanda hujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, ia bagi memastikan hasil ternakan tidak berdepan dengan risiko kematian akibat perubahan dan peningkatan paras air.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara langkah yang boleh diambil termasuk memindahkan sementara induk-induk ikan bernilai serta anak benih ikan ke kawasan selamat serta bebas dari ancaman banjir.

"Sekiranya tak boleh dituai saya harap mereka ambil langkah persediaan bagi melindungi aset-aset mereka kerana kita bimbang jika dibiarkan, ia akan menyebabkan kerugian besar sekiranya dilanda banjir," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program 'Rasa-Rasa Akuakultur' Negeri Terengganu 2023 di Pasar Tani Padang Hiliran pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Terengganu, Nukman Hashim.

Iklan

Dalam pada itu, Ruzaidi berkata, seramai 300 penternak mengalami kerugian lebih RM14 juta dalam dua episod banjir yang melanda tahun lalu.

"Sebolehnya kita tidak mahu berlaku peristiwa banjir yang melanda pada Februari dan Disember 2022 berulang lagi.

"Kita harap mereka dapat mengambil langkah sewajarnya dalam menyelamatkan aset masing-masing misalnya mengalihkan atau mengikat sangkar ikan dengan selamat supaya tidak dihanyutkan arus banjir," katanya.

Sementara itu, Ruzaidi memberitahu, kira-kira RM500,000 nilai kerugian direkodkan bagi ternakan ikan sangka akibat dilanda fenomena El Nino atau cuaca panas pada pertengahan Mei dan Jun tahun ini.