Selangor sasar sektor pelancongan penyumbang utama ekonomi negeri

Iklan
Suee Lim (depan, kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad (depan, kiri) melawat kebun peria sempena Lawatan Projek Pelancongan Sungai Panjang pada Sabtu.

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor menyasarkan sektor pelancongan sebagai antara penyumbang ekonomi utama di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, beliau dan pemain industri pelancongan sentiasa berusaha mempromosi dan menonjolkan kelebihan yang ada di negeri Selangor seterusnya menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Iklan
Iklan

Malah, katanya, beliau juga mahu memastikan setiap pelancong asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengetahui mereka sebenarnya telah melawat dan menjejak kaki ke negeri ini terlebih dahulu sebelum ke tempat lain.

"Kebanyakan pelancong luar yang turun ke KLIA keliru mereka sebenarnya sudah sampai Selangor kerana KLIA terletak di Sepang.

Iklan

"Apabila kita bertanya pelancong asing, mereka menyebut tentang Pulau Pinang, Melaka dan Genting Highlands, (tetapi) jarang mereka sebut Selangor," katanya ketika ditemui pada Lawatan Projek Pelancongan Sungai Panjang di sini pada Sabtu.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan berkata, cabaran beliau ketika ini bagi membetulkan persepsi atau tanggapan pelancong berkenaan.

Iklan

"Saya dan Tourism Selangor akan berusaha dalam tempoh ini untuk memastikan pelancong yang mendarat sahaja di KLIA mereka ingat Selangor dan perlu mengetahui tempat yang wajib mereka kunjungi untuk membeli-belah dan ke tempat agro pelancongan," jelas beliau.

Ditanya persediaan Tahun Melawat Selangor 2025, Suee Lim berkata, pelbagai program dirancang dan dilaksanakan bagi menarik kedatangan pelancong.

Katanya, antara persediaan dibuat termasuklah bersama-sama Tourism Selangor menyertai pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Fair anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan (MOTAC).

Selain itu, katanya, promosi juga digerakkan di beberapa negara lain dalam usaha memperkenalkan Selangor sebagai sebuah kawasan agro pelancongan.

"Kita akan ke luar negara untuk mempromosi pelancongan menarik yang ada di negeri ini antaranya ke Indonesia, China, UAE (Emiriah Arab Bersatu), Singapura, Taiwan, Laos dan Vietnam serta beberapa negara lain.

"Saya sendiri akan ke Taiwan akhir November ini untuk promosi Selangor yang menyediakan pelbagai produk pelancongan terkenal dalam negara," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, potensi sektor pelancongan diyakini dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya menjana ekonomi setempat.

"Saya yakin ekonomi penduduk dapat berkembang baik kerana sektor pelancongan membuka peluang pekerjaan meluas kepada penduduk kampung.

"Jika ini dapat kita jayakan, penduduk terutama generasi muda ada peluang ekonomi dan mereka tidak perlu ke bandar untuk mencari pekerjaan," katanya.

Mengulas mengenai lawatan beliau ke tempat pelancongan, produk industri kecil dan sederhana (IKS) dan inap desa di sekitar Sungai Panjang, Suee Lim berkata, kawasan itu mempunyai potensi besar bagi menarik kedatangan pelancong

"Saya dan Tourism Selangor meninjau eko dan agro pelancongan di sini berkaitan dengan aktiviti penjanaan ekonomi dalam kalangan komuniti setempat.

"Saya berpeluang melawat beberapa produk ekonomi di Sungai Panjang antaranya kebun tanaman mulberry yang boleh menghasilkan buah, jus dan puding serta singgah di kebun cili dan peria.

"Selain itu, saya juga singgah di kilang beras wangi, penghasilan biskut kelapa dan inap desa di Nazzbell Cottage dengan konsep budaya kampung serta warisan di samping diperkenalkan dengan produk seperti kuih loyang, mengkuang dan batik," tambah beliau.