Bumbung SMK Munshi Abdullah rosak dilanda ribut

Iklan
Chee Yee (dua dari kiri) melihat keadaan bumbung SMK Munshi Abdullah yang diterbangkan angin.

MELAKA - Hampir kesemua bumbung bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam di sini mengalami kerosakan teruk akibat dilanda ribut dan hujan lebat pada Sabtu.

Difahamkan dalam kejadian 2.30 petang itu, sekolah berusia lebih 30 tahun berkenaan baharu selesai digunakan Sekolah Rendah i-Musleh bagi acara sukan sekolah.

Iklan
Iklan

Pengetua sekolah berkenaan, Ramli Abdullah berkata, beliau bergegas ke sekolah dari Seremban selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu dan bernasib baik tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Keadaan siling bangunan yang turut mengalami kerosakan akibat ribut.

Menurutnya, sepatutnya pelajar Tingkatan Lima akan menggunakan salah sebuah bangunan bumbung terjejas itu bagi menghadapi peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Iklan

Bagaimanapun katanya, pihak sekolah akan menunggu laporan dan penilaian pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka sama ada bangunan itu selamat untuk digunakan atau sebaliknya.

"Kami juga akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri kerana hampir semua blok bangunan mengalami kerosakan teruk.

Iklan

"Kawasan ini memang dipercayai lokasi lintasan angin dan pernah berlaku kejadian bumbung terbang, namun ini kejadian paling teruk," katanya ketika ditemui di SMK Munshi Abdullah di Batu Berendam di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee

Keadaan bumbung sekolah yang diterbangkan angin.

Sementara itu, Rahmad berkata, bangunan yang paling teruk terjejas melibatkan blok C yang menempatkan bilik pentadbiran, kelas Tingkatan Tiga dan Empat.

Menurutnya, cuaca buruk itu menyebabkan sebahagian besar struktur bumbung tercabut dan diterbangkan angin.

"Saya difahamkan sistem pendawaian juga rosak, jadi blok berkenaan ditutup sepenuhnya sehingga dibaik pulih dilakukan.

"JPN Melaka juga telah memohon bantuan bencana segera kepada Kementerian Pendidikan bagi membaiki kerosakan yang berlaku," katanya.

Terdahulu tular beberapa video yang merakamkan kejadian ribut yang berlaku di sekolah asrama harian itu.