SKUAD hoki remaja negara terus longlai di pentas Kumpulan B Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) apabila dibelasah juara bertahan India, 3-1 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru pada Sabtu.
Ini merupakan kekalahan kedua dilakar The Young Tigers kendalian Muhamad Amin Rahim selepas dijinakkan New Zealand, 2-3 pada Jumaat
Kemenangan itu membolehkan juara tiga kali tersebut kendalian CR Kumar memimpin kumpulan dengan empat mata berkongsi mata dengan Pakistan kedua dengan perbezaan gol,
Sementara itu, New Zealand pula ketiga dengan tiga mata, manakala Young Tigers tercorot tanpa sebarang mata.
Young Tigers sebelum itu memimpin perlawanan hasil jaringan pukulan sudut penalti Shahmie Irfan Suhaimi minit ke-13.
India kembali memperkemaskan permainan akhir menyamakan kedudukan hasil gol padang Lalage Aditya Arjun pada minit ke-28.
Jaringan itu menyaksikan India tampil lebih agresif apabila meledak gol kedua hasil pukulan sudut penalti Lakra Amandeep pada minit ke-37.
India yang mengikat Pakistan 3-3 pada Jumaat terus melebarkan jaringan apabila Rohit berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-54 untuk kedudukan 3-1.