Angkat martabat suri rumah, iktiraf kerjaya - SRR

Iklan
Setiausaha SRR, Siti Suzilah Saini (kiri sekali), Nur Hamizah, Rose Jazimah dan Felo Penyelidikan Pembangunan, Wanita dan Masyarakat UTM Kuala Lumpur, Dr Zilal Saari.

KUALA LUMPUR - Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) merancang mengangkat martabat kumpulan itu hingga diwartakan dan diiktiraf sebagai kerjaya di negara ini.

Pengerusinya, Rose Jazimah Abdul Jalil berkata, usaha itu diambil dengan mengambil kira peranan besar dimainkan golongan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ini perancangan masih di peringkat awal termasuk dalam mengenal pasti cara untuk menilai dan mengira pendapatan.

"Bukan sahaja meliputi penjagaan anak, memasak dan mengemas, kadang-kala menjadi pakar kaunseling di rumah. Skop tugas mereka luas.

Iklan

"Kita bukan mengejar wang tetapi mahukan martabat mereka dinaiktarafkan dan sekurang-kurangnya suri rumah diiktiraf sebagai kerjaya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Konvensyen Suri 2023: Persidangan Suri Rumah Kebangsaan (Konsuri 2023) dan Pelancaran Projek Suri Menulis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu di UTM Hotel dan Residence di sini pada Sabtu.

Iklan

Tambah Rose Jazimah, pihaknya juga menyediakan ruang dan peluang untuk suri rumah melakukan aktiviti bagi menyumbang semula kemahiran dan kelulusan yang mereka miliki antaranya menghasilkan buku.

"Seramai 11 ahli SRR dibantu untuk menerbitkan sebuah buku iaitu 'Suri menulis dalam sembunyi menabur bakti'. Kita tidak menekankan pembangunan dari segi kewangan tetapi menyalurkan bantuan jika mereka mahu menjana ekonomi di rumah.

"Sekarang ini kami nak bangunkan diri suri rumah supaya tahu tentang personaliti dan potensi termasuk mengajar golongan itu menjadi lebih berilmu, berkeyakinan serta berketrampilan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang ingin menjadi ahli SRR, boleh mendaftar tetapi dengan syarat, menjadi suri rumah selama tiga tahun dan berumur 25 hingga 45 tahun.

Sementara itu, Pengarah Konsuri 2023, Dr Nur Hamizah Basri berkata, konvensyen yang diadakan itu menjadi platform bagi menghasilkan suri rumah berkemahiran dan berketrampilan serta berupaya menjadi aktivis dalam masyarakat.

"Kita sedang berusaha mencari inisiatif yang bersesuaian supaya golongan ini dapat diperkasakan kerana sekarang terutama di bandar, fenomena baharu wanita pendidikan tinggi berhenti kerja untuk menjadi suri rumah.

"Ini amat merugikan jika potensi dan kemahiran mereka jika tidak digunakan. Malah akan menyebabkan hilang jati diri dan depresi," ujarnya.

Jelasnya lagi, Konsuri 2023 berkenaan tertumpu untuk pemberdayaan dan membimbing suri rumah muda berperanan dalam masyarakat.

Ujarnya, seramai lebih 350 peserta menyertai konvensyen bertemakan 'Inovasi Pemberdayaan Suri tersebut secara bersemuka termasuk dalam talian.

"Ia adalah program di bawah Model Pembangunan Suri yang dibina oleh Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) sebagai modul untuk membantu memberi motivasi kepada golongan berkenaan.

"Kita juga bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Akademi Dr Har (ADH) di mana terdapat pembentangan serta penerbitan kertas kerja kajian lapangan berkaitan suri rumah.

"Ia dijalankan pihak mereka iaitu penyelidik akademik dengan tujuan memartabatkan peranan golongan itu dalam pembangunan masyarakat dan negara," katanya.