[EKSKLUSIF] Pendaftaran harta intelek didominasi pelabur asing

Iklan
Mohd Zuhan - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

PENGERUSI Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Ts Dr Mohd Zuhan Mohd Zain mendedahkan, unjuran pendaftaran harta intelek ketika ini didominasi oleh pelabur luar negara iaitu 70 peratus berbanding kira-kira 30 peratus usahawan tempatan dan trend itu dilihat statik sejak 10 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Dua faktor utama dikenal pasti menjadi punca iaitu kurangnya kesedaran dan tidak tahu tentang harta intelek di samping anggapan kos tinggi, sedangkan pendaftaran cap dagangan hanya RM950 untuk tempoh 10 tahun atau RM95 setahun.

Ikuti wawancara eksklusif bersama Mohd Zuhan yang dikendalikan wartawan Sinar Ahad, FARAH SHAZWANI ALI dan jurufoto, ROSLI TALIB di Menara MyIPO, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Iklan

SINAR AHAD: Apakah dimaksudkan harta intelek dan fungsi MyIPO?

MOHD ZUHAN: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) ditubuhkan pada 3 Mac 2003 dengan berkuatkuasanya Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002.

Iklan

MyIPO adalah sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan pembangunan sistem harta intelek serta bertindak sebagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Kebiasaannya ia lebih dikenali dengan cap dagangan dan hak cipta tapi sebenarnya kita ada enam komponen utama dengan mentadbir dan menguatkuasakan Perundangan Harta Intelek yang terdiri daripada Akta Cap Dagangan 2019, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987, Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996, Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000, Akta Petunjuk Geografi 2000 serta Peraturan-Peraturan di bawahnya.

SINAR AHAD: Berapa jumlah terkini pendaftaran harta intelek dengan MyIPO?

MOHD ZUHAN: Sehingga September tahun ini, pendaftaran telah mencecah 30,958. Pada 2019, pendaftaran sedikit berkurangan berbanding 2018 disebabkan transisi kerajaan baharu ketika itu.

Mungkin ada beberapa polisi yang berubah dan selepas itu, trendnya semakin meningkat.

Kebiasaannya, tempoh suku keempat iaitu antara November dan Disember proses pendaftaran akan jadi lebih banyak.

Kita jangkakan sehingga penghujung tahun ini, kita boleh capai lebih 50,000 pendaftaran memandangkan masih banyak yang dalam proses untuk semakan sebelum diluluskan.

Antara pempengaruh terkenal yang sudah mendaftar cap dagangan ialah Khairul Aming.

SINAR AHAD: Bagaimana dengan pendaftaran daripada luar negara?

MOHD ZUHAN: Pendaftaran luar negara ini bermaksud, pelabur luar yang membuka kilang atau melabur di Malaysia dengan membawa masuk produk mereka.

Kebiasaannya mereka akan bawa kepada kita terlebih dahulu dan produk mereka lebih tertumpu kepada automotif, kejuruteraan dan perkapalan.

Ia juga bergantung kepada pelaburan yang masuk dan jika kita lihat kilang-kilang yang bercambah, mereka ada spesifikasi atau komponen yang berdaftar.

Antaranya, kalau nak buka kilang, mereka perlu melihat dari segi reka bentuk litar bersepadu yang mana reka bentuk kilang itu mesti menggunakan konsep intervensi dan mesti mendaftarkannya.

Bagi automotif pula, biasanya ada komponen dan reka bentuk baharu bagi setiap model.

Jadi, meraka akan hantar dahulu kepada MyIPO dan kita akan daftarkan reka bentuk tersebut sebelum dijual di pasaran.

Sebab itu lebih banyak pelaburan yang dibawa masuk, lebih banyak pendaftaran akan berlaku.

Apa yang bagusnya adalah setiap pelabur atau syarikat luar yang ingin masuk ke pasaran negara ini, mereka akan wajib mendaftarkan produk.

Sebab itu, unjuran pendaftaran di Malaysia ketika ini adalah 70 peratus daripada luar negara dan 30 peratus dalam negara.

Adakalanya ia boleh pergi kepada 60 peratus (luar negara) dan 40 peratus (dalam negara), namun trend 10 tahun kebelakangan ini, 70-30 peratus.

SINAR AHAD: Kenapa kita tidak meletakkan syarat untuk mewajibkan pengusaha dalam negara untuk mendaftar?

MOHD ZUHAN: Sebenarnya, pendaftaran harta intelek ini tidak wajib tapi ia bergantung kepada kesedaran.

Kalau daripada luar negara, mereka mempunyai kesedaran yang besar kerana takut produk mereka akan diciplak dan diambil orang.

Jika tidak, idea mereka akan hilang begitu sahaja.

Tapi, kita sedang ke arah itu dalam memberikan kesedaran menyeluruh untuk melindungi hak mereka.

Idea perlu dilindungi dan Insya-ALLAH, kita juga sedang berjuang untuk mewajibkan pendaftaran harta intelek.

WIPO (World Intellectual Property Organization) belum lagi mewajibkan sesuatu negara itu mendaftarkan harta intelek tapi kalau persidangan WIPO mengharuskan atau mewajibkannya, akta itu kita akan bentangkan di Malaysia.

SINAR AHAD: Negeri mana paling tinggi dan rendah pendaftaran harta intelek?

MOHD ZUHAN: Jika berdasarkan negeri, Selangor memainkan peranan yang utama, diikuti Johor dan Pulau Pinang.

Berdasarkan pendaftaran keseluruhan, Selangor mencecah 55 peratus dan selebihnya negeri lain.

Pendaftaran paling rendah adalah Perlis, hanya 11 peratus.

Katakan daripada 18,000 pendaftaran untuk tahun 2022, bermaksud Perlis hanya sekitar 2,000 sahaja.

Buat masa ini, pejabat kita hanya di peringkat zon sahaja dan bukannya di setiap negeri.

Sekarang ini, kita ada pejabat di Johor, Melaka, Pahang, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang. Mungkin Perlis jauh sikit, jadi agak sukar untuk mereka dan mungkin juga kurangnya kesedaran.

Sekarang ini, kita mengambil langkah untuk memastikan semua negeri dapat capai akses perkhidmatan agar dapat memudahkan mereka untuk mendaftar.

SINAR AHAD: Mungkin MyIPO ada sasaran tahunan dan adakah ia menepati sebagaimana yang dihasratkan?

MOHD ZUHAN: Tahun lepas, pendaftaran kita melebihi 50,000 dan ia tidak termasuk hak cipta.

Bagi tahun 2023, kita sasar penambahan 10,000 dan jika pendaftaran untuk paten bertambah, Insya-ALLAH ia akan tercapai.

Bagi pendaftaran lain seperti Petunjuk Geografi (GI), kita memang sedang agresif.

Contohnya kita ada batik Terengganu, tembaga Terengganu serta gambus dan nanas Johor.

Jadi, keseluruhan negeri ini ada banyak GI dan kita sedang usaha turun dan daftarkan.

Kita juga sedang berusaha untuk mendaftarkan hak cipta ataupun reka bentuk perindustrian, sama ada berbentuk corak, lukisan dan sebagainya. Contohnya, lukisan batik Terengganu dan Kelantan berbeza.

Batik Kelantan dan Indonesia juga berbeza, jadi kita nak daftarkan supaya tiada orang yang boleh pertikaikan hal tersebut.

Biasanya, sesuatu entiti itu akan berdaftar untuk hak cipta atau cap dagangan untuk membezakan barangan atau perkhidmatan daripada perusahaan yang lain.

SINAR AHAD: Apakah halangan atau permasalahan yang dikenal pasti menjadi punca ramai usahawan tidak mendaftarkan harta intelek mereka?

MOHD ZUHAN: Hasil daripada pemerhatian dan dapatan kami, sebenarnya ramai yang kurang kesedaran dan tidak tahu tentang harta intelek secara keseluruhan.

Macam saya sebut, kita ada enam komponen harta intelek iaitu cap dagangan, paten, hak cipta, reka bentuk perindustrian, reka bentuk susun atur litar bersepadu dan petunjuk geografi.

Oleh itu, saya nak pastikan rakyat Malaysia tahu secara mendalam dan melihat kepentingannya.

Contohnya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mereka ini menyumbang kepada 90 peratus kegiatan ekonomi.

Ada antara mereka yang membuat produk sendiri, ada juga yang membuatnya di China tapi menggunakan logo sendiri dan produk mereka menjadi terkenal.

Tapi malangnya mereka tak daftar, rugi bila ada orang lain yang bertindak lebih awal dan mendaftarkannya terlebih dahulu.

Selain itu, ada yang merasakan kos pendaftaran adalah tinggi sedangkan cap dagangan hanya RM950 untuk tempoh 10 tahun.

Bagi saya, ia tidaklah membebankan kerana cap dagangan mereka akan dilindungi.

Disebabkan itu, kita di MyIPO akan buat yang terbaik, dengan memfokuskan kepada transisi daripada manual kepada digital.

Insya-ALLAH dalam tempoh dua tahun ini, akan selesai.

Selepas ini, sesiapa sahaja boleh daftar harta intelek di hujung jari sahaja.

SINAR AHAD: Adakah ada perniagaan popular di Malaysia yang masih belum mendaftar hak cipta, mungkin di kalangan artis atau pempengaruh media sosial?

MOHD ZUHAN: Bagi artis dan komposer, mereka lebih kepada hak cipta kerana ia adalah hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Bagi komposer, mereka juga memiliki studio.

Sebenarnya, mereka ini sudah ada naungan yang kita namakan Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) atau badan kutipan royalti.

Organisasi ini diberi mandat oleh pemunya hak cipta untuk menguruskan hak mereka melalui penggunaan karya-karya hak cipta oleh pengguna.

Bila mereka tidak menjadi ahli, mereka tidak akan mendapat royalti. CMO itu sendiri adalah hitam putih kepada royalti artis berkenaan.

Ia berbeza dengan artis yang menyanyi di YouTube dan menjadi pempengaruh kerana mereka bergerak sendiri.

Saya lihat, ramai generasi baharu seperti YouTuber dan TikTokers tidak tahu tentang MyIPO, sebab itu mereka tidak mendaftar.

Bagaimanapun, sejak kita membuat engagement dengan artis dan pempengaruh, ramai yang mula sedar dan datang ke MyIPO untuk daftarkan setiap produk mereka.

Kita akan berikan sijil kepada setiap produk mereka yang didaftarkan.

Mereka sudah mula faham bahawa kandungan yang dibuat sangat mahal.

Contohnya, mereka cipta kaedah untuk menjadi terkenal dengan ayat-ayat atau kandungan yang dibuat, itu boleh didaftarkan sebagai hak cipta.

Kalau ada produk, mereka boleh daftar cap dagangan.

Antara pempengaruh terkenal yang sudah mendaftar ialah Khairul Aming dan Boss James.

Boss James misalnya, ada lebih lima juta pengikut.

Jadi, bila ada kesedaran, dia daftar dan kita baharu sahaja luluskan.

Dia dapat tiga sijil cap dagangan iaitu logo bagi setiap apa yang dia nak buat.

Kita juga akan buat perjanjian persefahaman (MoU) dengan TikTok Malaysia pada 6 November nanti, yang mana sesiapa yang nak berniaga di TikTok Shop Malaysia, mesti diwajibkan untuk mendaftar harta intelek.

Buat masa ini, kita tidak ada akta untuk mewajibkan pendaftaran tapi agensi atau entiti syarikat boleh mewajibkan jika mereka hendak gunakan perkhidmatan syarikat itu.

Jadi selepas ini, sesiapa yang nak masuk TikTok Shop, mesti daftar dengan MyIPO.

SINAR AHAD: Apa akibat dan implikasi jika seseorang itu tidak mendaftarkan harta intelek sendiri?

MOHD ZUHAN: Implikasinya adalah produk atau jenama mereka boleh dicuri orang sehingga menyebabkan kerugian dan boleh kehilangan perniagaan.

Ada satu kes yang kita kendalikan, syarikat ini menggunakan logo sama pada semua perniagaan mereka iaitu produk batu permata, kain dan barang kemas.

Kemudian, mereka buka restoran tapi terlupa daftar.

Akhirnya, mereka daftar pada Jun dan ditolak sebanyak empat kali.

Apabila disemak, rupa-rupanya sudah ada yang mendaftar perniagaan menggunakan logo dan nama yang sama pada April.

Jadi, apa yang berlaku adalah dia tidak boleh menggunakan logo itu.

Kerugian pada usahawan ini adalah pengguna ingatkan restoran pemilik lain itu adalah miliknya.

Jadi, perniagaan restorannya tidaklah ‘kencang’ seperti yang diharapkan.

Pada masa yang sama, usahawan ini terhalang untuk menggunakan logo itu.

Kalau hendak selesaikan masalah tersebut, ia akan ambil masa yang sangat panjang dan kos yang sangat tinggi.

Sebab itu, pelabur luar akan daftar dulu sebelum keluarkan produk mereka, berbeza dengan kita yang daftar bila perniagaan kita sudah agak maju.

Ini antara kesilapan yang banyak dilakukan dan kita kena ubah perkara tersebut.

SINAR HARIAN: Bagaimana undang-undang menyelesaikan pertikaian hak cipta?

MOHD ZUHAN: Bagi setiap pendaftaran, sebenarnya ada akta masing-masing.

Kalau berlaku pertikaian cap dagangan misalnya, apa yang berlaku adalah kita akan minta mereka berbincang dan MyIPO akan jadi orang tengah.

Kalau tiada penyelesaian, mana-mana pihak kena bawa ke mahkamah sehingga dijatuhkan hukuman atau keputusan siapa yang bersalah.

Jika kesalahan itu tidak termaktub dalam mana-mana seksyen di bawah akta tersebut, minimum denda yang perlu dibayar adalah RM10,000 dan maksimum RM50,000.

Tetapi kalau termaktub dalam Akta Cap Dagangan 2019, dia boleh dipenjarakan sampai 20 tahun dan boleh didenda sehingga RM500,000.

Sebab itu kalau sampai ke mahkamah, ia sebenarnya memakan masa yang panjang sampai ke satu tahap lima ke 10 tahun.

Bila berlaku, kita akan nasihatkan tukar reka bentuk baharu kerana prosesnya lebih cepat.

Tapi kalau melibatkan hak cipta, ada Tribunal Hak Cipta.

Contohnya, artis yang tidak dibayar royalti, mereka boleh daftar kepada tribunal dan membuat aduan.

Wartawan Sinar Ahad, Farah Shazwani Ali (dua dari kiri) bersama Mohd Zuhan (dua dari kanan) dan pegawai MyIPO. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

SINAR AHAD: Malaysia berada di kedudukan ke-36 dari keseluruhan 132 negara dalam Global Innovation Index (GII) 2022.

Bagaimana tuan melihat kedudukan ini berbanding tahun-tahun sebelumnya dan sasaran pada tahun akan datang?

MOHD ZUHAN: Bagi saya, kita berada di tempat yang tidaklah terkebelakang dan terkehadapan sebenarnya.

Kalau dilihat berbanding tahun 2020, kita berada di tangga yang lebih baik iaitu 33.

Pada saya, dengan perancangan kerajaan sekarang ini, Insya-ALLAH kita memfokuskan kepada inovasi dan penciptaan.

Maknanya, kita berada satu langkah ke depan. Contohnya, kita akan menubuhkan School of Artificial Intelligence (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ia akan melahirkan lebih ramai yang berinovasi dan mencipta produk baharu berkaitan AI.

Apa yang MyIPO tawarkan untuk galakkan lebih ramai usahawan mendaftarkan harta intelek?

Pertamanya, bila permasalahan kita lihat tadi, orang menyebut tentang kos.

Jadi, kita mohon satu dana daripada kerajaan untuk menggalakkan usahawan mendaftar secara percuma.

Kita sudah mulakan sejak dua tahun lalu dan tahun ini, kita ada RM2 juta peruntukan untuk Dana 2.0. Insya-ALLAH, kita akan mohon lagi untuk tambahan dana.

Daripada situ, kita dapat lihat peningkatan pendaftaran daripada PMKS khususnya.

Kedua, kita menyediakan akademi di bangunan MyIPO untuk pusat latihan.

Kita buka untuk pelbagai latihan dalam memberikan kesedaran kepada semua pihak dan turut membuat ‘engagement’ dengan pihak di luar negara.

Selain itu, kita banyak turun padang berjumpa masyarakat supaya mereka kenal dengan MyIPO.

Malaysia perlu kembangkan bidang angkasa

SAYA melihat Malaysia sangat berpotensi untuk kembangkan bidang angkasa lepas sebab kita sudah ada asasnya. Jujurnya, saya kagum dengan hartawan, Richard Branson apabila syarikatnya berjaya mencipta kapal angkasa dengan jet dan bukannya roket.

Malah, dia juga berjaya melengkapkan misi angkasa lepas, apabila pesawat angkasa Virgin Galactic berjaya mendarat di Spaceport, New Mexico.

Beliau bersama lima anggota pasukannya berada di angkasa lepas buat beberapa ketika, sebelum meluncur turun ke atmosfera bumi.

Ia adalah satu inovasi yang tak terjangkau di fikiran kita, apabila dia buat kerjasama singkat sahaja dan berjaya.

Saya sangat kagum bagaimana mereka boleh lakukan, melangkaui kepantasan dan membawa kru mereka ke angkasa lepas dan dapat balik ke bumi.

Bagi saya, perniagaannya ini tidak akan hilang sebab inovasinya di luar jangkauan pemikiran orang biasa.

Dia inovator paling hebat bagi saya, selain Elon Musk dan mengharapkan Malaysia pergi ke arah itu.

Kita sudah ada angkasawan yang boleh memacu ke arah itu tapi dengan pendekatan berbeza.

Minat teroka politik, ekonomi dan hak asasi manusia

SAYA suka teroka isu politik, ekonomi dan hak asasi manusia.

Berkait politik, saya minat untuk dalami tentang apa yang berlaku di Malaysia dan luar negara, pertembungan antara dua blok yang besar iaitu antara Amerika Syarikat dan Rusia.

Bagi saya, ia sangat menarik dan memberikan kesan kepada perang di Gaza sekarang.

Isu ekonomi juga menjadi antara topik kegemaran dan saya sering ikuti perkembangan di dalam negara dan dunia serta kesan langsung terhadap Malaysia.

Begitu juga berkaitan hak asasi manusia, bagaimana kehidupan jika dibandingkan antara Malaysia dan Palestin serta perbezaan pandangan dan pendekatan yang dibuat negara luar terhadap konflik yang berlaku.

PROFIL

Nama: Ts Dr Mohd Zuhan Mohd Zain

Umur: 44 tahun

Jawatan: Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sejak 1 Februari 2023.

Pendidikan:Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 2003

Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat pada tahun 2010

Doktor Falsafah dalam bidang Sistem Maklumat dari UTM pada tahun 2019.

Kerjaya:Ketua Pegawai Eksekutif di ZNN Technology Centre Sdn Bhd.

Pengerusi & Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Pendidikan Al Fateh Malaysia pada tahun 2015 hingga kini

Pengasas ShoppyJapan Global pada tahun 2021.