KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tersasul apabila menyebut 'Palestin Pengecut, Palestin Hancur' ketika berucap dalam Himpunan Pahang For Palestin di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada Sabtu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal memberitahu, kesilapan itu segera disedari oleh Menteri Besar dan ia diperbetulkan serta mengakui kesilapan tersebut.
"Saya berada di tempat kejadian dan Menteri Besar berucap dengan penuh semangat dan ketika itu berlaku kesilapan, saya segera maklumkan dan beliau segera perbetulkan, mengaku tersasul dan meminta tidak dihebahkan kepada umum," ujarnya.
Tegas beliau, Menteri Besar langsung tidak berhasrat untuk menyokong Israel.
"Takkan la MB nak sokong Israel..kita tahu itu khilaf..kenapa masih nak tularkan kesilapan tersebut..apa niat di sebalik semua itu.
"Sebenarnya banyak lagi benda boleh hebahkan kepada umum berhubung himpunan tersebut, antaranya Pahang adalah negeri pertama anjurkan himpunan besar-besaran menyokong Palestin, sumbangan RM100,000 untuk Tabung Pahang For Palestin," katanya.
Tambahnya, Menteri Besar juga dengan nada tegas dan berani mengecam Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) yang gagal mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel.
"Ini yang patut kita tularkan, kenapa nak tularkan isu tutur kata sedangkan beliau (Wan Rosdy) mengaku dengan jelas tersasul.
"Pada saya janganlah kita semata-mata nak kejar populariti, nak tingkatkan view dan like sanggup sebarkan berita-berita yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat...sebarkan berita yang tepat dan bagus," jelasnya.