Jawi diminta rangka strategi, pelan tindakan lahir qari dan qariah berkualiti

Iklan
Mohd Na'im

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diminta menyusun rangka strategi dan pelan tindakan dalam tempoh tiga tahun bagi melahirkan qari, qariah, hafiz dan hafizah berkualiti dalam kalangan belia dan anak muda termasuk asnaf di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kelompok itu akan dibimbing dengan latihan berterusan secara bermodul serta silibus daripada tokoh al-Quran sehingga mereka menguasai ilmu pembacaan al-Quran serta asas tadabbur kitab suci itu.

Iklan
Iklan

"Menyantuni masyarakat agar kembali menghayati nilai-nilai al-quran, itulah keutamaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang sedang digerakkan bersama oleh semua agensi dalam pelbagai pendekatan.

"Inilah juga usaha kita semua untuk melestarikan agenda ‘Membangun Malaysia Madani’, membentuk masyarakat yang menjunjung tinggi nilai-nilai ilmu, akhlak dan budi. Usaha ini adalah komitmen yang begitu bersungguh-sungguh dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan semalam.

Mohd Na’im berkata, institusi masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan akan terus diupayakan sebagai madrasah kepada masyarakat di semua peringkat umur untuk mempelajari serta memahami kupasan dan tafsiran al-Quran.

Iklan

"Individu yang berpegang teguh kepada ajaran agama akan menyerlahkan nilai qurani seperti perpaduan, berkasih sayang, bertoleransi dalam bermasyarakat.

"Alhamdulillah, saya memerhati dan sedar ada beberapa masjid dan surau di Wilayah Persekutuan telah maju kehadapan menyusun kuliah-kuliah serta kelas pengajian al-Quran, dan menjadi harapan kita semua agar semua masjid dan surau membuat usaha yang sama untuk memakmurkan penghayatan al-Quran,” katanya. - Bernama