KOTA BHARU - Songket asli Kelantan mungkin pupus jika tiada usaha pemuliharaannya berikutan tiada generasi baharu yang berminat menyambung warisan itu lagi.
Pengusaha songket, Ahmad Kamil Hussin, 68, berkata, antara faktor lain ialah kos upah mahal tetapi pada masa sama sukar dijual berikutan persaingan dari negara luar yang membekalkan songket.
Menurut beliau, warisan itu mungkin senasib dengan tikar mengkuang dan kercut yang kini tidak ramai mampu menghasilkan kraf itu.
"Harganya songket kini 10 kali ganda lebih tinggi berbanding 30 tahun dahulu yang hanya sekitar RM80 kerana tiada individu yang berminat untuk belajar manakala yang sudah berusia tidak mampu meneruskan kerja-kerja menenun.
"Kekangan kami sebagai pembuat songket ialah kos upah dan bahan mentah yang semakin tinggi. Jual mahal, tak padan kos upah, jual murah tak boleh cari makan," katanya ketika ditemui di Kampung Penambang di sini.
Bagaimanapun Ahmad Kamil memberitahu, songket masih ada permintaan tetapi hanya untuk majlis tertentu seperti majlis kebesaran diraja, penyampaian anugerah dan perkahwinan.
Ahmad Kamil yang meneruskan penghasilan dan perniagaan tradisi keluarga dalam bidang songket sejak lebih satu abad lalu mempelajari cara menenun daripada ibunya yang juga pengasas Che Minah Songket, Che Minah Omar pada usia sembilan tahun.
Kakak beliau, Kelthom Hussin juga disenaraikan sebagai Adiguru Kraf Negeri Kelantan yang masih hidup dalam bidang berkenaan.
Pengalamannya yang berpuluh tahun dalam bidang itu berkongsi pendapat ramai generasi baharu mula beralih pekerjaan lain sejak tahun 2005 kerana mereka banyak pilihan.
"Jika dahulu, lebih 100 tukang tenun songket lelaki sahaja yang aktif di Kampung Kok Keli dan Kampung Laut, Tumpat serta di sekitar Kota Bharu," jelas beliau.
Bapa kepada empat anak berusia antara 25 hingga 42 tahun itu turut memberitahu, kini songket banyak dihasilkan menggunakan benang kapas kerana harga sutera sangat mahal.
"Namun permintaan masih ada dengan benang jenis itu tetapi harganya mencecah ribuan ringgit bergantung kepada corak dan saiz," katanya.
Jelasnya, corak tradisional antara yang popular termasuk siku keluang, susuh ayam, kuih wajik dan manggis.