Laungan 'Daulat Tuanku' sambut kepulangan Sultan Ibrahim di Johor

Iklan
Keberangkatan pulang Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar disambut rakyat jelata yang menunggu ketibaan baginda di hadapan Istana Bukit Serene hari ini. - Foto Bernama

KULAI - Laungan"Daulat Tuanku" kedengaran sebaik kereta yang membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat tiba di Hangar Diraja LTAS dari Kuala Lumpur selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara.

Iklan
Iklan

Ketibaan Sultan Ibrahim di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri serta rakyat negeri ini.

Pada mesyuarat tersebut, Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.

Iklan

Rata-rata yang ditemui Bernama berkata mereka tiba seawal 6.30 pagi tadi kerana tidak mahu terlepas peluang untuk bersama-sama meraikan pemilihan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Presiden Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah, 42, berkata Sultan Ibrahim amat disenangi Bangsa Johor sebagai seorang raja yang berjiwa rakyat malah baginda sering menjadi yang pertama menyantuni rakyat jelata yang ditimpa musibah termasuk bencana banjir besar yang melanda negeri ini.

Iklan

"Ada di antara kami seawal 6.30 pagi sudah tiba di sini, kami teruja dan bangga sebagai anak Johor kerana sebelum ini pun kalau kita berada di luar Johor, ramai yang sentiasa sebut perkara yang baik tentang Tuanku sebagai seorang yang tegas, berpendirian dan berani membuat keputusan,” katanya ketika ditemui Bernama di luar LTAS, di sini, hari ini.

Senada dengan Faridah, Presiden Majlis Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor (Gabung Johor) Zaini Atan berkata beliau yakin amanah dan tanggungjawab besar itu akan dilaksanakan dengan baik sepertimana ketika baginda memerintah Johor.

"Selaku rakyat Johor, kita bangga dan ini adalah tanda kita meluahkan rasa bangga kita menunjukkan kepada Tuanku. Bukan sehari dua baginda berjiwa rakyat malah sejak menjadi Tunku Mahkota Johor lagi telah pun bersama rakyat," katanya.

Sementara itu, sambutan meriah pelbagai lapisan masyarakat turut dapat disaksikan sewaktu keberangkatan tiba Sultan Ibrahim pada 11 pagi di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Sultan Ibrahim menaiki kenderaan yang dipandu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut berangkat tiba Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Warga emas Saadiah Sabran, 65, antara individu yang setia menunggu ketibaan baginda di hadapan pintu masuk istana, meskipun cuaca panas sejak 9 pagi tadi.

"Saya harap baginda yang sentiasa berjiwa rakyat, diberi kesihatan yang baik dan dipelihara Allah sepanjang menjadi penaung negara nanti,” katanya kepada Bernama.

Saadiah berkata arwah suaminya Iduan Idris merupakan bekas pemandu peribadi Allahyarham Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail pada sekitar tahun 70-an.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Jan tahun depan.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) Jumaat lepas turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama. - Bernama