GENEVA - Ketiadaan akses kepada telefon dan internet di Gaza bermakna bantuan roti juga tidak lagi dijamin di wilayah itu, menurut amaran yang dikeluarkan Program Makanan Sedunia (WFP) pada Sabtu.
"Tanpa komunikasi dengan dunia luar di Gaza, kami tidak dapat menghubungi kakitangan WFP, kedai roti dan kedai. Ini bermakna sekeping roti harian yang sangat diperlukan keluarga-keluarga Palestin sudah tidak lagi dijamin.
"Kami perlukan komunikasi, bahan api dan lebih banyak laluan selamat untuk mengelakkan keluarga daripada kelaparan. Kami memerlukannya sekarang," tulis pengarah wilayah untuk Asia Barat, Afrika Utara dan Eropah Timur agensi itu, Corinne Fleischer di X, lapor Agensi Anadolu (AA).
Beliau berkata, hanya dua daripada 23 kedai roti yang masih beroperasi di Gaza.
"Untuk membolehkan 2.4 juta orang di Gaza dapat makan apa yang mereka perlukan untuk setiap hari, 100 trak perlu melalui sempadan pada setiap hari hanya untuk membawa makanan," katanya.
Tentera Israel pada Jumaat memperhebat serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza, yang mengakibatkan agensi bantuan antarabangsa mendakwa terputus hubungan dengan kakitangan mereka di Gaza selepas Israel memutuskan internet dan komunikasi.
Sekurang-kurangnya 7,703 rakyat Palestin terbunuh sejak konflik Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober.
Kira-kira 70 peratus daripada kematian penduduk Palestin adalah wanita dan kanak-kanak, menurut angka rasmi. - Bernama