Wanita hilang tiga hari ditemui mati

Iklan
Laporan Sinar Harian dan gambar mangsa yang dikongsi di media sosial memaklumkan kehilangannya sejak Khamis lalu. Gambar kecil: Norasma Diana

IPOH - Seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya sejak Khamis lalu ditemui mati dalam keadaan terapung di tepi laut berhampiran Pengkalan Zon Maritim Kuala Kurau.

Mayat mangsa dikenali Norasma Diana Mohd Nazim, 23, ditemui pada Sabtu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekitar jam 4.45 petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, identiti mangsa telah disahkan oleh keluarga yang hadir membuat pengecaman di Hospital Parit Buntar.

Menurutnya, hasil bedah siasat dijalankan mendapati kematian mangsa tidak dapat dikenal pasti akibat pereputan mayat.

Iklan

"Beberapa spesimen telah diterima dan dihantar ke Jabatan Kimia, Ipoh bagi membantu keseluruhan siasatan.

"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, polis telah menerima laporan kehilangan mangsa pada Jumaat lepas daripada bapa mangsa yang memaklumkan anak gadisnya itu keluar dari rumah dan gagal dikesan.

Katanya, mangsa dikatakan mempunyai masalah kesihatan tiroid dan asma serta mengalami kemurungan.

"Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan siasatan bagi menjaga sensitiviti keluarga.

"Mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Hebahan kehilangan mangsa telah dikongsi di media sosial termasuk Facebook sejak Khamis lalu.

Mangsa dikatakan keluar dari rumah dengan berpakaian baju T berwarna biru gelap dan berseluar hitam.

Sinar Harian melaporkan, satu mayat tanpa identiti ditemui terapung di bawah bot Perkasa 1238 yang bertambat di Jeti Zon Maritim Kuala Kurau.

Usaha mengeluarkan mayat telah kemudiannya dilakukan dengan bantuan polis dan komuniti setempat.