SUNGAI PETANI - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini bagi menempatkan mangsa berikutan banjir yang melanda beberapa lokasi di bandar ini.
PPS tersebut ialah di PPS Dewan UMNO Kampung Bukit Belah yang dibuka jam 9 malam dan Dewan Pusat Jagaan Ciying Taman Seruling dibuka sejam kemudian.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, jumlah keluarga dan mangsa terlibat bagi kedua-dua lokasi bagaimanapun masih dalam bancian.
"Hujan lebat sejak jam 5.30 petang menyebabkan limpahan selain air pasang besar berlaku di mana pintu air ditutup sehingga jam 1.16 pagi Isnin.
"Disebabkan itu, paras kedalaman air meningkat setinggi antara 0.3 meter hingga 0.5 meter," katanya.
Tambah beliau, proses perpindahan mangsa sedang dijalankan di kawasan terjejas dengan menggunakan bot penyelamat dan diuruskan pelbagai agensi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, banjir kilat pada petang Ahad turut menyebabkan Mukim Gurun, Sungai Petani dan Sungai Pasir dinaiki air.