TENTU sahaja kita biasa mendengar ayat ini, negara yang menguasai teknologi akan mengawal dunia.
Kita tidak dapat lari daripada hakikat, Barat menjadi pelopor kepada pelbagai cabang teknologi sama ada aplikasi ciptaan yang menghubungkan dunia, internet of thing (IoT), pengkomputeran awam dan terkini, kelahiran kecerdasan buatan (AI) yang semakin menggila.
Mahu atau tidak, dalam era digital yang semakin maju, teknologi dan aplikasi komunikasi telah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan kita.
Bahkan, kebergantungan hidup kita hari ini pada aplikasi komunikasi seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan X yang jika bukan dilayari bagi tujuan bersosial, digunakan untuk mencari rezeki termasuk mendapatkan apa jua maklumat dari seluruh dunia sangat tinggi.
Meski begitu, persoalan yang sering muncul adalah, apakah kesan langsung apabila kita menggunakan aplikasi-aplikasi yang dikuasai Barat ini?
Hakikat yang perlu kita akui, syarikat teknologi besar ini berpusat di negara-negara Barat, yang membawa maksud, mereka juga terpaksa tunduk kepada undang-undang dan peraturan kuasa Barat.
Ini termasuklah dalam hal perlindungan data dan privasi.
Oleh itu, sejauh mana data pengguna dari seluruh dunia ini benar-benar terpelihara atau kalis daripada sebarang salah guna pihak yang berkuasa?
Tentu anda pernah mendengar, sejarah dicipta oleh mereka yang menang, bukan?
Dalam konteks ini, Barat adalah pemenang.
Tidak dapat kita nafikan, pengaruh kuasa Barat dalam teknologi banyak mempengaruhi naratif dan maklumat yang disampaikan melalui media sosial.
Kuasa yang dimiliki menyebabkan mereka mempunyai pengaruh besar dalam menentukan apa yang dianggap sebagai ‘berita palsu’ atau ‘berita benar’.
Bahkan dalam sesetengah keadaan, misalnya dalam isu Palestin-Israel, mereka boleh mengawal maklumat yang dirasakan tidak memihak kepada Barat dan sekutu mereka.
Ketika dunia sedang menangis dan meratapi kekejaman rejim Zionis, wujud dakwaan perkongsian mereka berkait isu Palestin disekat, dipadam malah ada dakwaan mengatakan jumlah ‘reach' berkaitan konten itu berkurangan.
Mungkin sudah sampai masanya, golongan intelektual Islam bangkit menghasilkan aplikasi sendiri yang bukan hanya berperanan menyatukan ummah di seluruh dunia, namun bebas agenda sulit!