RAMALLAH - Yasser Arafat, nama tokoh yang tidak mungkin dilupakan setiap kali menyebut perjuangan rakyat Palestin yang sekian lama ditindas Israel.
Beliau telah menjadi simbol dan personifikasi perjalanan panjang Palestin untuk menubuhkan negara yang berdaulat serta merdeka.
Malah, Yasser yang juga dikenali sebagai Abu Ammar oleh rakyat Palestin dianggap sebagai salah seorang pemimpin terpenting di rantau Asia Barat.
Sejak zaman remajanya lagi, Yasser yang dilahirkan pada tanggal 24 Ogos 1929 di Kaherah, Mesir terlibat dalam gerakan penentangan terhadap pendudukan rejim Zionis.
Semasa berusia 19 tahun, Yasser menyediakan senjata api kepada pejuang Palestin ketika Perang Arab-Israel 1948.
TUBUHKAN FATAH
Pada 1959, Yasser bersama rakan seperjuangan seperti Khalil Al-Wazir, Salah Khalaf dan Khalid Al-Hassan menubuhkan kumpulan Fatah.
Penubuhan Fatah didorong oleh peristiwa Nakba 1948 yang menyaksikan pengusiran dan penghapusan etnik Palestin oleh Zionis.
Perjuangan bersenjata Fatah untuk menentang penjajahan Israel bermula pada tahun 1965 dengan sebahagian besar operasi bersenjata dilakukan dari Jordan dan Lubnan.
Di bawah kepimpinan Yasser dan setelah Perang Arab-Israel 1967, Fatah menjadi parti dominan dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang dianggotai oleh banyak parti politik Palestin.
PLO ditubuhkan pada tahun 1964 dengan tujuan untuk membebaskan Palestin dan hari ini ia bertindak sebagai wakil rakyat Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Setelah diusir dari Jordan serta Lubnan pada tahun 1970-an dan 1980-an, gerakan tersebut mengalami perubahan dasar dan memilih untuk berunding dengan Israel.Yasser memimpin Fatah sehingga 2004.
PERJUANGAN MENERUSI DIALOG
Selain menjadi musuh kepada Israel, ada keputusan Yasser yang tidak disenangi oleh rakyat Palestin sendiri terutamanya ketika beliau menandatangani Perjanjian Oslo.
Perjanjian Oslo adalah perdamaian dengan pihak Israel yang ditandatangani pada 1993.
Ironinya, perjanjian itu masih belum terlaksana sehingga ke hari ini.
Yasser memeterai perjanjian itu bukan kerana tiada sebab ataupun beliau sudah berlembut dengan rejim Zionis, tetapi kerana mahu memberikan ruang kepada penduduk Palestin untuk hidup dan tumbuh menjadi sebuah masyarakat yang benar-benar kuat.
Ini kerana sepanjang pengalamannya menjadi pemimpin bersenjata Fatah dan PLO, beliau melihat jalan kekerasan semakin tidak menyebelahi penduduk Palestin.
Sebaliknya dunia Arab semakin tidak bersatu dan Israel sendiri semakin kuat dengan dukungan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.
SPEKULASI KEMATIAN
Yasser meninggal dunia pada 11 November 2004 semasa berusia 75 tahun di sebuah hospital di Perancis.
Hanya sebulan sebelum itu, Yasser masih sempat menikmati hidangan makan malam di rumahnya di Ramallah yang dikepung oleh rejim Zionis.
Ada banyak teori yang mengatakan kematian Yasser bukanlah berpunca daripada sebab semula jadi.
Memetik berita Washington Post, beliau mungkin diracun, sama ada oleh saingan politiknya, orang dalam ataupun ejen-ejen Israel.
Laporan setebal 108 muka surat oleh penyiasat Switzerland menemukan hasil daripada ujian pada barangan dan tubuh Yasser seperti rambutnya, topi bulu biri-biri dan juga kesan urin pada pakaian dalamnya menunjukkan wujud bukti yang mencurigakan.
Ada kemungkinan kematiannya disebabkan oleh keracunan polonium-210, zat yang sangat radioaktif iaitu 250,000 kali lebih beracun daripada sianida.
Israel berulang kali membantah penglibatan mereka, walaupun mengikut kronologi selepas makan malam pada 12 Oktober 2004, Yasser mula mengalami sakit perut dan mual-mual.
Tujuh belas hari kemudian, Israel mengizinkan Yasser ke Hospital Tentera Percy di Clamart di barat daya Paris.
Sehingga kini, sebahagian besar rakyat Palestin percaya Yasser diracun hingga mati dan bukannya meninggal dunia kerana angin ahmar sebagaimana dilaporkan dalam rekod rasmi kematiannya. - Agensi