Perlu redah hutan belantara untuk pergi ke pekan

Iklan
Keadaan persekitaran di Kampung Saliliran yang serba kekurangan tanpa kemudahan jalan raya.

NABAWAN - Walaupun negeri Sabah sudah 60 tahun bersama membentuk Malaysia, namun dalam tempoh itu masih ada rakyat di negeri ini belum menerima kemudahan infrastruktur sama taraf seperti di tempat lain.

Wartawan Sinar Harian pada Selasa lalu berpeluang ke sebuah perkampungan di Pensiangan yang terletak berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia untuk melihat sendiri keadaan penduduk kampung yang bukan saja berada jauh di pedala-man tetapi turut ketinggalan dari arus pembangunan.

Iklan
Iklan

Kampung Saliliran yang dihuni lebih 200 orang itu bukan saja tiada akses jalan untuk keluar dari perkampungan tetapi juga tiada akses komunikasi, bekalan elektrik dan juga air.

Sangut

Ketua Kampung Saliliran, Sangut Biow, 60, mengakui keadaan di perkampungan itu yang serba kekurangan menyebabkan penduduk tidak dapat menikmati pelbagai kemudahan yang ada di luar.

Iklan

Menurutnya, untuk perjalanan keluar dari Kampung Saliliran ke Pekan Nabawan yang terletak kira-kira 120 kilometer (km) agak sukar kerana penduduk terpaksa meredah hutan belantara dan sungai selain memerlukan kos yang begitu tinggi iaitu mencecah RM1,500 untuk perjalanan pergi dan balik.

"Untuk keluar dari Kampung Saliliran ke Kampung Sinapar memerlukan tempoh perjalanan selama empat hingga lima jam dengan berjalan kaki di kawasan hutan.

Iklan

"Manakala dari Kampung Sinapar, penduduk terpaksa melalui Sungai Sibangali dengan menaiki perahu selama tiga jam dan untuk sekali perjalanan ini saja kami dikenakan tambang sebanyak RM300.

"Sebaik tiba di Kampung Sinapar pula, kami perlu meredah laluan tidak berturap dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda selama tiga jam untuk ke Pensiangan dengan tambang antara RM350 hingga ke RM400,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa lalu.

Katanya lagi, kesukaran penduduk untuk keluar ke pekan Nabawan menyebabkan penduduk tidak mampu untuk mendapatkan bekalan makanan dengan lebih kerap.

"Kami hanya ke Nabawan jika mempunyai urusan penting atau bekalan makanan habis iaitu setiap dua bulan sekali untuk keluar disebabkan kos tambang yang begitu mahal.

"Penduduk di kampung ini juga tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada hasil tanaman kebun seperti padi, ubi kayu dan sayur-sayuran manakala untuk barangan lain seperti minyak, gula dan sebagainya susah untuk didapati di sini.

"Kami juga sukar membawa hasil pertanian keluar kerana jarak perjalanan yang begitu jauh dan tiada yang sanggup untuk memikul barangan hasil tani menyebabkan penduduk tidak mempunyai sumber pendapa-tan,” jelasnya.

Kedudukan Kampung Saliliran yang berada berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia

RAMAI GOLONGAN BELIA BERHIJRAH

Sangut berkata, disebabkan keadaan itu menyebabkan penduduk yang berada di kampung tersebut mulai berkurang apabila golongan belia berpindah ke Nabawan untuk bekerja.

Menurutnya, penduduk kampung amat dahagakan pembangunan terutama akses jalan dan telekomunikasi di perkampungan tersebut.

"Di sini tiada peluang pekerjaan kerana hasil pertanian pun tidak dapat dibawa keluar.

"Jika ada jalan, penduduk yang keluar boleh kembali ke sini.

"Begitu juga akses telekomunikasi, tiada talian telefon dan kami terpaksa menumpang akses internet daripada sekolah.

"Jadi susah untuk kami berhubung dengan dunia luar terutama ketika berlaku kecemasan membabitkan penduduk yang sakit atau

sebagainya,” jelasnya.

Ungkar

Sementara itu, seorang lagi penduduk Ungkar Hasai, 38, berkata, disebabkan tidak mampu menanggung kos tambang ke Nabawan menyebabkan mereka terpaksa berpakat untuk berkongsi bayaran tambang tersebut.

"Saya sendiri hanya keluar ke Nabawan satu atau dua kali dalam setahun itu pun jika ada urusan yang penting.

"Kalau seorang keluar memang tidak mampu, jadi kami akan keluar secara berkumpulan supaya tambang dapat dibahagikan sama rata untuk meringankan beban,” katanya.

Katanya, golongan muda di kampung itu kebanyakannya sudah berpindah keluar untuk mencari kerja bagi menyara ahli keluarga masing-masing.

"Ada sesetengah penduduk seperti saya masih berada di sini kerana jika kami berpindah belum tentu ada penempatan untuk kami sedangkan di sini saja tempat tinggal kami sejak dulu lagi.

"Tetapi tanpa punca pendapatan yang tetap dengan tanaman kurang menjadi disebabkan bencana banjir dan serangan haiwan liar menyebabkan kami tiada sumber rezeki lain dan akhirnya terpaksa mendapatkan pekerjaan di pekan berhampiran,” katanya.