MERAK Jalanan bukanlah hati tisu, cuma entah kenapa mudah sahaja hati bagai dirobek-robek waima hanya dengan membaca tajuk berita.
Minggu lepas, Merak Jalanan terbaca kisah seorang guru yang sedih melihat anak muridnya dengan seluar lusuh dan berambut panjang.
Baca tajuk berita itu sahaja, hati Merak Jalanan bagai disiat-siat! Kasihan.
"Abang, kamu tidak ada seluar sekolah lain ke?”
Apabila baca petikan itu, terus terbayang wajah anak-anak di rumah!
"Tak ada, cikgu. Seluar saya semua dah ‘pindik’,” tulis cikgu terbabit di media sosial miliknya, mengulangi jawapan diberikan pelajar yang mesra disapa ‘abang’.
Terima kasih cikgu kerana hatimu sungguh mulia membelikan pakaian seragam untuk abang.
Paling penting ‘auto handsome’ selepas dibawa ke kedai gunting rambut ‘kayangan’.
Sudah tentu, berbunga-bunga hati anak kecil berusia sembilan tahun itu menilik baju dan rambut baharu.
Tak cukup dengan itu, dibawa pula makan tengah hari dan dibelikan aiskrim!
Aduhai, pasti abang senyum seminggu, cikgu.
Tak perlu jauh, melihat anak-anak Merak Jalanan juga begitu.
Kalau ada benda baharu, seminggu jugalah mereka akan seronok menilik dan bercerita hal sama.
Berulang-ulang tanpa rasa jemu!
Orang kata, kanak-kanak tak pandai menipu.
Betullah, apabila mereka seronok dan teruja dengan sesuatu, itulah yang akan disebut-sebut sampai kita pula naik muak!
Tapi begitulah cara mereka meluah syukur dan berterima kasih di atas pemberian.
Merak Jalanan percaya, jika kita buat orang lain gembira, kita pasti akan merasa gembira.
Bantulah orang lain yang di dalam kesusahan, ALLAH pasti akan melepaskan kita pula daripada kesusahan