SMK Jalan Kebun tak gerun status SMK Meru

Iklan
Pasukan SMK Jalan Kebun, Klang yang akan berdepan SMK Meru, Kapar di padang bola sepak sintetik MBSA, Seksyen 28 Shah Alam pada Isnin. - Foto SMK Jalan Kebun, Klang

STATUS pasukan pilihan dimiliki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Kapar tidak menggerunkan SMK Jalan Kebun, Klang apabila kedua-dua berentap di pentas separuh akhir Piala Dato' Mokhtar Dahari 2023 pada Isnin.

Sebaliknya pengurus pasukan bola sepak SMK Jalan Kebun, Jafri Chin percaya semangat skuad kendalian Mohd Ismadi Samsudin itu mampu menghadirkan keputusan positif dalam perlawanan di padang bola sepak sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28 Shah Alam.

Iklan
Iklan

"Saya dan coach Ismadi yakin para pemain SMK Jalan Kebun telah cukup bersedia dan mampu memberikan saingan sengit kepada SMK Meru.

"Ini kerana pasukan SMK Jalan Kebun beberapa kali berdepan SMK Meru saingan peringkat daerah sebelum ini, jadi pengalaman banyak membantu kami mencongak strategi untuk perlawanan kali ini.

Iklan

"Kami telah melakukan persediaan lebih rapi sebaik mengesahkan kemaraan ke separuh akhir. Saya percaya pertembungan antara SMK Jalan Kebun dan SMK Meru akan berlangsung dengan sengit,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Mengenai aksi di padang bola sepak sintetik, Jafri berkata, anak-anak buah Mohd Ismadi sebelum ini telah dibiasakan dengan latihan di padang tiruan tersebut selain di padang sebenar.

Iklan

"Kami telah membiasakan para pemain beraksi di padang turf di Rimbayu apabila mengadakan perlawanan persahabatan.

"Jadi tidak timbul soal para pemain akan kekok apabila beraksi di padang sedemikian,” ujarnya.

Pada masa sama Jafri berterima kasih kepada penganjur Piala Dato' Mokhtar Dahari yang menyediakan padang yang cantik untuk perlawanan peringkat separuh akhir kali ini.

"Sebelum ini para pemain sebenarnya kurang mendapat pendedahan bermain perlawanan kompetitif di padang sintetik.

"Jadi apabila penganjur Piala Dato' Mokhtar Dahari memilih beberapa padang sintetik secara tidak langsung satu pengalaman baharu bagi para pemain peringkat remaja ini,” katanya.

Jafri (barisan belakang, kanan) bersama pengendali pasukan, Ismadi Samsudin dan para pemain SMK Jalan Kebun, Klang yang beraksi dalam kejuaraan bola sepak Piala Dato' Mokhtar Dahari 2023. - Foto SMK Jalan Kebun, Klang

Pada masa sama Jafri juga berterima kasih kepada Jabatan Pendidikan Selangor yang disifatkan amat prihatin dengan perkembangan bola sepak peringkat sekolah.

Jelasnya, keprihatinan penganjur secara tidak langsung dapat memberi pendedahan terbaik kepada bakat-bakat baharu bola sepak sekolah negeri Selangor bagi kejuaraan mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad)

Katanya, pujian juga kepada penganjur kejohanan yang amat prihatin dalam memartabatkan bola sepak di peringkat pembangunan.

Mengulas mengenai status para pemain menjelang perlawanan, Jafri berkata,"Pada ketika ini semua pemain-pemain utama berada pada tahap terbaik dan bebas kecederaan, cuma kami kehilangan seorang pemain regular yang mengalami pergantungan selepas mengutip kad kuning kedua semasa perlawanan suku akhir sebelum ini.”