ATLET negara perlu mengekalkan momentum kecemerlangan semasa Sukan Para Asia Hangzhou 2022 diteruskan pada Sukan Paralimpik 2024 Paris, Perancis tahun depan.
Malah, Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga mahu atlet yang bakal menyertai Paralimpik Paris tampil dengan semangat tinggi bagi menjulang nama negara pada temasya sukan berprestij tersebut dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September 2024.
"Ya...dengan tekad dan semangat yang ada insya-Allah (teruskan rentak kecemerlangan di Sukan Paralimpik 2024). Kita doakan agar mereka terus sihat" katanya kepada pemberita, di Sepang pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kepulangan 113 wira dan wirawati negara pada Hangzhou 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada masa sama Dr Wan Azizah kagum dengan pencapaian dilakar kontinjen negara di Hangzhou 2022, yang berakhir Sabtu.
Sebelum itu, sorakan dan tepukan gemuruh mengiringi ketibaan kontinjen negara dalam sambutan yang turut disertai pegawai tertinggi Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara, wakil persatuan sukan para masing-masing serta ahli keluarga atlet.
Kontinjen negara selamat tiba di KLIA Terminal 1 menerusi penerbangan sewa khas MH8839 dan komersial MH377 masing-masing pada jam 8.07 malam (dari Hangzhou) dan 8.23 malam (dari Guangzhou).
Pada majlis sambutan tersebut, Dr Wan Azizah turut memberikan cenderahati berupa plak kepada semua penyumbang pingat di Hangzhou 2022.
Malaysia menamatkan cabaran dengan mengumpul tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa untuk menduduki tangga ke-12 carta pingat pada temasya sukan berprestij itu.
Pencapaian dilakar pada edisi keempat itu menyaksikan Malaysia berjaya melepasi sasaran 35 pingat ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebelum ini
Tuan rumah China mempertahankan gelaran juara dengan merangkul 214 pingat emas, 167 perak dan 140 gangsa.
Iran menghuni tangga kedua dengan meraih 44 emas, 46 perak dan 41 gangsa diikuti Jepun dengan kutipan 42 emas, 49 perak dan 59 gangsa. - Bernama