Perhilitan Kelantan tangkap beruang matahari

Iklan
Seekor beruang matahari berjaya ditangkap Perhilitan Kelantan di Kampung Batu Melintang, di sini pada Ahad. - Gambar hiasan

JELI - Seekor daripada dua beruang matahari berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Kelantan di Kampung Batu Melintang, di sini pada Ahad.

Beruang tersebut didapati memasuki perangkap yang dipasang susulan aduan diterima daripada wakil penduduk setempat sebulan lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihak Pejabat Perhilitan Daerah Jeli menerima aduan melalui talian Hotline melibatkan dua beruang matahari yang berkeliaran di sekitar kampung dan kebun milik penduduk.

Beliau berkata, kehadiran beruang-beruang itu menimbulkan ketakutan kepada penduduk untuk keluar bekerja.

Iklan

"Pada hari sama, kakitangan Perhilitan menjalankan siasatan di lokasi aduan dan memasang seunit perangkap di lokasi berkenaan.

"Umpan buah-buahan digunakan untuk menarik perhatian hidupan liar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, tugasan pemantauan perangkap dan kawasan sekitar kampung juga dilakukan secara berjadual.

Katanya, hidupan liar itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor yang terletak berhampiran dengan kampung berkenaan untuk mencari makanan.

"Beruang matahari atau nama saintifiknya Helarctos Malayanus yang ditangkap itu akan diperiksa oleh pegawai veterinar jabatan ini sebelum dipindahkan ke habitat asal jauh dari penempatan manusia.

Ujar Mohamad Hafid, khidmat nasihat dan langkah mitigasi diberikan kepada penduduk supaya membersihkan kawasan semak di sekitar kampung dan kebun mereka bagi mengelak kehadiran haiwan liar.

"Penduduk diingatkan sentiasa berteman semasa ke kebun, memasang lampu di sekeliling rumah dan tidak ke kebun pada waktu malam.

"Orang ramai perlu berwaspada dan jika terserempak dengan hidupan liar boleh salurkan aduan dan maklumat ke Jabatan Perhilitan melalui talian 1-800-88- 5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.