PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan masih ada ruang untuk menambah baik persembahan pasukan selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Diogo Jota dan Darwin Nunez menjaringkan gol pada separuh masa pertama untuk meletakkan perlawanan dalam kawalan Liverpool sebelum Mohamed Salah melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-77.
"Jika anda mengejar permainan, ia jelas satu tugas yang berbeza tetapi jika anda berada dalam kawalan sepenuhnya, ia akan menajdi lebih mudah.
"Lima minit terakhir sebelum separuh masa pertama berakhir, kami terlalu membiarkan lawan menguasai permainan dan ia antara perkara yang perlu kami perbaiki.
"Dalam situasi sebegini, ada ruang untuk meningkatkan prestasi kerana pemain Liverpool mempunyai banyak potensi," kata Klopp.
Sebaik sahaja Liverpool berjaya menjaringkan gol pertama, Forest terus tenggelam dan gagal memberikan saingan tetapi Klopp masih berhati-hati dengan keupayaan pasukannya untuk mempertahankan kelebihan selepas mendahului lawan.
"Anda mungkin masih ingat tiga atau empat tahun lalu, kami dominan dan mendahului di tempat sendiri dan sentiasa menghadapi tekanan daripada lawan.
"Mendahului satu gol mungkin tidak bermakna kerana lawan akan mencari gol penyamaan.
""Perkara itu kami perlu pelajari semula kerana barisan pemain juga berbeza daripada sebelum ini di bahagian depan, bahagian tengah dan pertahanan," katanya.