BUKIT MERTAJAM - UDA Holdings Berhad (UDA) menyasarkan pembabitan 500 usahawan dengan nilai jualan berjumlah RM10 juta di empat lokasi penganjuran Karnival UDA 2023.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami berkata,agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu bukan sahaja memberi fokus terhadap pembangunan hartanah termasuklah pembangunan hartanah wakaf malah UDA komited menggalas peranan dalam memperkasa golongan usahawan.
Beliau berkata, Pulau Pinang menjadi lokasi kedua penganjuran karnival selama tiga hari selepas ia membuka tirai di Padang Akasia, Angsana Mall, Johor Bahru pada 29 September hingga 1 Oktober lalu.
Menurutnya, karnival ini akan diteruskan ke Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu bermula 24 hingga 26 November dan berakhir di Angsana Ipoh Mall pada 8 hingga 10 Disember depan.
"Kempen USHAniaga yang turut dimuatkan dalam karnival yang berlangsung selama tiga hari ini, menghimpunkan usahawan yang menyewa di ruang niaga UDA dan juga dari agensi lain merangkumi pelbagai segmen perniagaan.
"Melalui penganjuran karnival ini, kita turut memperkenalkan aspirasi UDA dalam melahirkan usahawan yang mampan serta menjejaki, mendekati, membimbing dan mentransformasikan usahawan berpotensi, berdaya tahan serta berupaya bersaing di pasaran bukan sahaja di peringkat domestik tetapi antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival UDA 2023 di Pulau Pinang yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany serta pengurusan tertinggi UDA.
Pada majlis itu, UDA turut menyampaikan sumbangan zakat UDA berjumlah RM15,000 kepada usahawan asnaf dan seterusnya memberikan penghargaan istimewa kepada 10 pelanggan setia hartanah UDA.
Selain itu, para pelanggan yang membeli hartanah UDA sepanjang Kempen Hartanah UDARia berlangsung berpeluang menikmati pelbagai hadiah lumayan berjumlah hampir RM200,000 berupa pakej percutian, kad ‘Touch ‘n Go’, baucar minyak, penginapan di AnCasa Hotels & Resorts yang merupakan rangkaian hotel UDA serta dua hadiah utama iaitu kereta Perodua Ativa
Dalam pada itu, Saraswathy menyeru agar UDA terus gigih mendukung hasrat kementerian mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan.
Katanya, usaha itu akan dapat menyumbang kepada perpaduan serta hala tuju Malaysia ke arah sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera berpandukan enam Nilai Teras Malaysia MADANI.
Sementara itu, Mohd Salem berkata, sebanyak RM2.96 juta nilai jualan usahawan telah dijana menerusi Karnival UDA 2023 di Angsana Johor Bahru Mall dengan pembabitan seramai 159 usahawan.
Beliau berkata, program Usahawan USHAniaga adalah inisiatif UDA khusus kepada golongan usahawan untuk mempromosikan perniagaan dan mendapatkan peningkatan dalam aspek jualan dan pemasaran.
Selain itu, ia bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dalam kalangan usahawan tempatan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.
"Menerusi Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), usahawan yang berminat membuka gerai jualan di Karnival UDA 2023 diberikan subsidi sewaan tapak.
"Usahawan juga berpeluang meneroka pelbagai insentif lain oleh UDA terutamanya bantuan dari segi akses pasaran seperti ruang niaga di premis-premis di bawah seliaan UDA antaranya di Morten Walk, Melaka serta ruang pemasaran produk usahawan di pusat runcit Mari Mart dan Kirana.
"Usahawan juga berpeluang mendapatkan maklumat bagi program-program yang disediakan oleh agensi-agensi KUSKOP selain berpeluang turut serta dalam kelas bimbingan dan konsultasi usahawan ‘Biz Clinic’,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Mohd Salem berkata, penganjuran karnival pada tahun ini UDA menggabungkan dua program utama dalam satu karnival iaitu Program Usahawan USHAniaga dan Kempen Hartanah UDA Ria.
"Kempen Hartanah UDA Ria membawakan pelbagai hartanah UDA antaranya dari negeri Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Pahang termasuklah projek terbaharu kami di Sarawak yang sesuai untuk semua generasi dengan pelbagai promosi dan tawaran hadiah menarik.
"Merujuk kepada segmen hartanah di Pulau Pinang, UDA memfokuskan kepada dua produk hartanah yang terletak di lokasi strategik iaitu banglo dua tingkat Crescent Dew (Fasa 1B) yang menampilkan gaya hidup resort mewah dalam persekitaran yang dekat dengan alam semula jadi. Kediaman pegangan bebas yang terletak di Kepala Batas itu mengetengahkan ciri reka bentuk yang elegan selain mengutamakan elemen privasi serta dikelilingi pelbagai kemudahan dan infrastruktur.
"Selain itu, UDA turut membawakan pangsapuri Amaanee Residences yang terletak di Wakaf Seetee Aisah 2, Seberang Jaya yang merupakan hartanah wakaf dengan harga mampu milik,” tambahnya.