Bantuan segera RM100,000 baiki kerosakan di SMK Munshi Abdullah

Iklan
Ab Rauf (dua dari kiri) ketika meninjau keadaan SMK Munshi Abdullah, Batu Berendam, di sini, pada Isnin. Gambar kecil: Rahmad

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan bantuan segera sebanyak RM100,000 bagi membaiki kerosakan yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam, di sini, akibat ribut pada petang Sabtu lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kejadian itu telah menyebabkan banyak blok mengalami kerosakan teruk dan musibah yang menimpa warga sekolah itu perlu diberikan perhatian serius kerana membabitkan jumlah pelajar ramai iaitu seramai 2,000 pelajar termasuk pelajar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Iklan
Iklan

"Kita akan beri perhatian terhadap pelajar dan kebajikan guru sekolah itu kerana enam blok sekolah telah mengalami kerosakan besar.

"Proses baik pulih dijangka akan mengambil masa enam bulan dan pihak sekolah akan mengambil langkah awal mengemaskini penjadualan pelajar," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di SMK Munshi Abdullah, Batu Berendam, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ismail Abd Rahman.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, bantuan segera itu meliputi kerja-kerja pembersihan dan pembaikan kecil yang dilaksanakan secara berperingkat.

Sementara itu, Rahmad berkata, pelajar sekolah berkenaan telah memulakan sesi pembelajaran secara penggiliran termasuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Tempoh penggiliran akan ditentukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, kita akan pastikan pelajar SPM tidak terjejas dan terganggu sesi pembelajaran mereka," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan hampir kesemua bumbung sekolah tersebut mengalami kerosakan teruk akibat dilanda ribut dan hujan lebat.

Difahamkan, dalam kejadian 2.30 petang itu, sekolah berusia lebih 30 tahun berkenaan baharu selesai digunakan Sekolah Rendah i-Musleh bagi acara sukan sekolah.

Pengetua sekolah berkenaan, Ramli Abdullah berkata, beliau bergegas ke sekolah dari Seremban selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu dan bernasib baik tiada kemalangan jiwa dilaporkan.