'Alang-alang menyeluk perkasam...'

Iklan

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11, Shah Alam tekad meneruskan momentum positif apabila berdepan pasukan pilihan SMK Dato Harun, Tanjung Karang dalam aksi separuh akhir Kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun pada Isnin.

Malah pengendali skuad bola sepak SMK Seksyen 11, Samsul Ibrahim berkata, pemainnya juga teruja dapat berdepan SMK Dato' Harun, satu nama besar dan digeruni dalam kejuaraan bola sepak peringkat sekolah di Selangor.

Iklan
Iklan

"Kami menghormati sepenuhnya pasukan SMK Dato' Harun, namun reputasi dimiliki SMK Dato' Harun tidak mengentarkan para pemain SMK Seksyen 11 sebaliknya bertekad memberikan tentangan sengit kepada lawan.

"Kami juga telah cukup bersedia untuk memberikan tekanan kepada SMK Dato' Harun dalam perlawanan berintensiti tinggi ini.

Iklan

"Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan, itu keazaman pasukan SMK Seksyen 11 untuk ke perlawanan akhir, Insya-ALLAH," katanya kepada Sukan Sinar.

SMK Seksyen 11 mengesahkan kemaraan ke separuh akhir kejuaraan yang mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) selepas menyingkirkan penyandang juara SMK Shah Alam, 2-1 di padang Arena Seksyen 26, Shah Alam.

Iklan

Sementara itu, SMK Dato’ Harun, yang berstatus juara Piala Sumbangsih mara selepas membelasah SMK Seksyen 9, Shah Alam, 3-0 dalam aksi di padang sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28 Shah Alam.