KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Sinar Karangkraf menjalinkan kerjasama korporat dengan Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur sebagai usaha membangunkan industri perhotelan dan pelancongan negara yang masih dalam proses pemulihan akibat pandemik Covid-19.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, kerjasama strategik itu memberikan kelainan apabila syarikat media berkolaborasi secara terus dengan industri tersebut.
"Bagi mengukuhkan lagi hubungan ini, banyak perancangan dan rangka program sudah dibincangkan serta akan diumumkan dalam masa terdekat. Ia penting bagi memastikan kedua-dua pihak mampu menjalin kerjasama dan memperoleh manfaat yang seiring.
"Kita (Sinar Karangkraf) melihat ini sebagai satu peluang yang besar untuk membangunkan ekonomi negara terutamanya dalam industri tersebut memandangkan kuasa berbelanja rakyat Malaysia juga besar,” katanya ketika sesi temu bual di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur pada Jumaat.
Tambah Nik Justin, ia adalah pilihan yang tepat kerana mereka merupakan sebuah jenama korporat global yang kukuh di bawah Marriott International Group dan mempunyai rangkaian yang luas dengan lebih 31 jenama hotel di serata dunia.
Dalam pada itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Sheraton Imperial Hotel Kuala Lumpur, Shaidatul Nurfairuze A Rashid berkata, melalui kerjasama itu diharapkan dapat menarik lebih ramai rakyat tempatan untuk memilih hotel tersebut sebagai lokasi penginapan ketika bercuti di ibu negara.
Menurutnya, inisiatif tersebut diambil bagi menyantuni pengamal media terutamanya Sinar Karangkraf menerusi pelbagai tawaran serta pakej istimewa yang bakal dirangka sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka dalam membantu industri berkenaan.
Jelas beliau, sebanyak 60 peratus tetamu yang menginap di hotel itu merupakan pelancong dan pihak korporat dari luar negara seperti India, Timur Tengah, China dan Singapura.
"Kami mengharapkan dengan kerjasama ini dapat menarik rakyat tempatan untuk memilih Hotel Sheraton Imperial sebagai tempat penginapan ketika bercuti.
"Pelbagai perkhidmatan dan kemudahan kepada tetamu dan waktu penginapan juga strategik di mana mereka boleh menginap selama 24 jam sehari mengikut waktu ‘check in’. Jadi, sekiranya mereka ‘check in’ pada jam 8 pagi maka waktu ‘check out’ adalah 8 pagi pada keesokan hari.
"Sebanyak empat restoran makanan dibuka setiap hari dan restoran masakan Cina paling digemari tetamu kami setiap kali datang ke sini kerana keunikan dari segi rasa dan penyediaan makanan. Tetamu tidak perlu bimbang kerana menu di restoran kami adalah halal,” katanya.