KUALA LUMPUR - Sebanyak 301 projek iaitu 38,752 unit rumah perumahan swasta sakit dan terbengkalai berjaya diselesaikan dan dipulihkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM28.88 bilion sehingga 30 September tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia susulan pencapaian Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TSFT) yang ditubuhkan bagi mengatasi projek perumahan yang bermasalah di negara ini.
"Penubuhan 'task force' itu adalah untuk mencari pendekatan yang lebih berfokus dan strategik serta memberi impak positif dalam menyelesaikan isu projek sakit dan terbengkalai.
"Selain itu, ia (strategi lain) juga akan membuat pencarian fakta dan ‘due diligence’ (usaha wajar) untuk mengenal pasti cara terbaik menyelesaikan masalah kronik projek perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi jawab lisan Dewan Rakyat berhubung soalan Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) berhubung strategi kementerian untuk menjejak projek-projek perumahan swasta yang berstatus lewat, sakit dan terbengkalai secara menyeluruh pada Isnin.
Sementara itu, ujar Akmal Nasrullah, strategi lain juga turut melibatkan usaha memastikan pemaju melaporkan status kemajuan projek melalui Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS).
"Dahulunya laporan ini dikemukakan secara berkala iaitu secara sukuan tahun, tetapi bermula pada Januari 2024 laporan ini akan dikemas kini mengikut status sebenar kemajuan projek di tapak (real-time).
"Selain itu, menjejak projek dengan lebih terperinci supaya tindakan penyelesaian adalah lebih bersasar dan berfokus iaitu dengan menganalisa perkara-perkara berikut seperti jenis rumah strata atau bertanah (landed) melalui Jenis Perjanjian Jual Beli (PJB) Jadual G atau H.
"Ia juga melibatkan tarikh sesuatu projek mula sakit; anggaran tempoh pemulihan/penyelesaian projek lewat atau sakit; dan peratus pemajuan sebenar berbanding PJB,” ujarnya.
Di samping itu, ulasnya, penyelesaian yang lebih berfokus turut dilakukan bersama pemaju dan pihak terlibat seperti kerajaan negeri, pihak berkuasa tanah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi utiliti, bank pembiaya dan persatuan pembeli dari masa ke semasa
"Strategi seterusnya adalah pemantauan kemajuan projek sebenar melalui lawatan tapak secara berkala dan sistematik,” jelasnya.